Gaji kecil bukan faktor utama polis terlibat rasuah

Sunday, November 19, 2017

Gaji kecil bukan faktor utama polis terlibat rasuah

Gaji kecil bukan faktor utama polis terlibat rasuah

KUALA LUMPUR - Isu gaji kecil pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan faktor utama menyebabkan mereka terlibat dalam gejala tidak berintegriti seperti rasuah dan salah guna kuasa, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN dalam jawapan bertulis kepada Datuk Raime Unggi (BN-Tenom), semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini berkata penglibatan sebilangan kecil mereka itu lebih terdorong kepada desakan peribadi seperti inginkan kehidupan mewah, berbelanja di luar kemampuan seperti membeli kereta, pakaian dan perabot rumah, hingga menyebabkan perbelanjaan menjadi tidak seimbang.

“Statistik penglibatan anggota PDRM dalam gejala rasuah bagi tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya 187 kes atau 0.15 peratus daripada keseluruhan keanggotaan dalam PDRM,” katanya.

Raime ingin mengetahui usaha kementerian dalam mengkaji semula skim gaji dan kebajikan anggota polis sebagai usaha membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa.

KDN berkata kerajaan telah mengambil inisiatif menambah baik sistem gaji khusus bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM dengan memperkenalkan Sistem Saraan Transformatif berkuat kuasa 1 Januari 2013.

Katanya melalui inisiatif berkenaan, gaji ATM dan PDRM diseragamkan dan menjadikan ia lebih berdaya saing.

“Kementerian sedar dan prihatin tentang peningkatan kos sara hidup masa kini yang membebankan penjawat awam, termasuk anggota PDRM.

“Pengurusan PDRM telah mengemukakan pelbagai cadangan untuk meringankan perbelanjaan harian anggota, antaranya kenaikan kadar elaun yang diterima ketika ini, atau memperkenalkan elaun baharu untuk pertimbangan pihak berwajib.

“PDRM juga telah mencadangkan 13 jenis elaun untuk diselaraskan semula kepada kerajaan sesuai dengan beban tugas kini,” menurut KDN. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment