CTC Imigresen mudahkan masyarakat luar bandar

Sunday, November 19, 2017

CTC Imigresen mudahkan masyarakat luar bandar

CTC Imigresen mudahkan masyarakat luar bandar

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen memperkenalkan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) bagi menawarkan perkhidmatan jabatan itu di kawasan luar bandar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata untuk permulaan, perkhidmatan menggunakan sebuah bas itu lebih tertumpu kepada urusan memproses permohonan dan memperbaharui pasport.

Katanya, Mobile CTC yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk, Perak semalam, akan digerakkan ke kawasan tiada cawangan agensi itu.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata, ia turut menawarkan perkhidmatan kaunter pertanyaan bagi hal berkaitan jabatan berkenaan.

"Mobile CTC dilengkapi sistem seperti di pejabat jabatan. Antara matlamatnya untuk memudahkan masyarakat, khususnya di kawasan jauh dari pejabat Imigresen, hadir mendapatkan perkhidmatan.

"Kami menugaskan antara enam hingga lapan pegawai yang cekap bagi melaksanakan perkhidmatan yang ditawarkan termasuk menjawab pelbagai soalan masyarakat berkaitan jabatan," katanya.

Mengenai permohonan pasport, Mustafar berkata, perkhidmatan itu boleh disiapkan dalam tempoh satu jam, namun buat masa ini, dokumen siap diproses hanya boleh dituntut di pejabat Imigresen berdekatan atau cawangan pilihan pelanggan.

Beliau berkata, Mobile CTC belum mempunyai keupayaan menyediakan mesin pencetak pasport dalam bas atas faktor teknikal, tetapi hal itu akan cuba diselesaikan dalam waktu terdekat.

"Kami cuba memudahkan masyarakat, namun dalam hal tertentu, terutama aspek keselamatan pasport dan kesahihan status pemohon, tidak boleh diambil mudah, katanya.

Mustafar berkata, dengan dikendalikan pegawai yang cekap, Mobile CTC mampu menguruskan sehingga 300 permohonan pasport dalam sehari.

"Dengan Mobile CTC, kita juga sasar turun ke kawasan paling banyak mendapat permohonan membuat pasport berdasarkan rekod jabatan seperti institusi pendidikan.

"Dengan cara ini, banyak yang dapat dijimatkan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment