Amanah, inklusif resipi capai keamanan dunia - Sultan Nazrin

Sunday, November 19, 2017

Amanah, inklusif resipi capai keamanan dunia - Sultan Nazrin

Amanah, inklusif resipi capai keamanan dunia - Sultan Nazrin

IPOH: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan, dua nilai keislaman yang penting, iaitu amanah dan inklusif atau ta'ayush adalah resipi utama dalam mencapai keamanan dunia sebenar. 

Sultan Perak bertitah, dua nilai berkenaan harus sentiasa disematkan dalam pemikiran, bukan sahaja untuk mengikis konflik, tetapi juga mewujudkan komuniti dunia yang inklusif dan saling mempercayai.

Titah baginda, komuniti dunia sedemikian menyaksikan setiap individu dihargai serta dihormati. 

Sultan Nazrin menjelaskan, amanah dan inklusif, iaitu belajar untuk hidup bersama dengan menunjukkan sikap belas kasihan adalah selaras dengan ajaran Rasulullah.

"Mereka yang tidak boleh dipercayai adalah golongan tidak beriman serta mereka yang mempunyai sifat belas kasihan akan menerima belas kasihan Allah. 

"Oleh itu, beta menyarankan nilai amanah dan inklusif dijadikan matlamat utama keamanan global," titah baginda dalam ucaptama ketika merasmikan Persidangan Dunia Mengenai Pemikiran Islam dan Peradaban Kali Keempat 2017 (WCIT2017), di sini hari ini.

Program berkenaan dianjurkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan kerajaan Perak. 

Yang turut hadir, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor USAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi. 

Sultan Nazrin bertitah, laporan semasa oleh Institute of Peace di Amerika Syarikat menghuraikan bahawa proses damai inklusif adalah kunci untuk menamatkan konflik keganasan. 

Baginda juga mengingatkan, usaha untuk mewujudkan komuniti global yang harmoni seakan terpaksa menempuh satu tempoh yang panjang, mustahil serta idea yang sukar dicapai. 

"Bagaimanapun, kita perlu memulakannya. Mari kita bermula dengan berimaginasi seperti kata John Lennon "Imagine all the people, living life in peace"; "Imagine all the people, sharing all the world". 

"Mari kita bermula dengan mempercayai satu sama lain dan hidup bersama dengan sikap amanah serta ta`ayush," titah baginda.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment