Warga emas terharu rumah dibaik pulih

Sunday, December 17, 2017

Warga emas terharu rumah dibaik pulih

Warga emas terharu rumah dibaik pulih

bhnews@bh.com.my

PARIT: Perasaan ceria jelas terpancar pada wajah Meor Baharuddin Meor Ahmad selepas rumah milik ibunya, Siti Rohyah Syed Johor, dibaik pulih menerusi Program Menghubung dan Menyatu anjuran Jabatan Penerangan Malaysia. 

Rumah Siti Rohyah, 92, adalah antara dua rumah yang dipilih untuk dibaik pulih di sekitar Bota di sini. 

Meor Baharuddin, 70, berkata rumah pusaka berusia 70 tahun itu adalah tempat ibunya berteduh dan bersyukur apabila ada pihak prihatin yang ingin menghulurkan bantuan membaikinya. 

"Siapa sangka rumah yang sudah uzur ini bakal berwajah baharu dan saya tentu gembira apatah lagi ibu yang sudah uzur, kini rasa selesa sikit berada di rumah itu. 

"Sebelum ini ada pihak yang ingin membantu, tetapi ibu menolak kerana tidak mahu terhutang budi, kali ini hati ibu terbuka untuk menerima bantuan," katanya ketika ditemui ketika Program Gotong Royong Bersepadu Membaiki Rumah, Penyampaian Touch Point dan Tandatangan Plak di Kampung Pulau Pisang, Bota Kiri, hari ini. 

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Meor Baharuddin berkata, bumbung rumah itu sudah bocor dan ibunya pula tidak lagi mampu berjalan sejak 20 tahun lalu dan hanya mengesot. 

"Jika hujan, ibu akan berteduh mencari tempat berlindung daripada basah kuyup, namun semua itu akan berakhir apabila kerja membaiki rumah dapat diselesaikan. 

"Kami adik beradik yakin ibu akan lebih selesa selepas ini, sebelum ini kami sudah puas memujuknya untuk tinggal bersama, namun beliau tidak mahu meninggalkan rumah itu," katanya. 

Sementara itu, Ibrahim berkata, pihaknya mengenal pasti 50 rumah di Perak dan Kelantan yang memerlukan perhatian untuk dibaik pulih di bawah program Menghubung dan Menyatu yang juga salah satu usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Penerangan untuk membantu masyarakat. 

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan sehingga RM25,000 bagi membaik pulih dan kerja pembaikan dijalankan secara gotong royong bagi setiap rumah. 

"Kami sudah dan sedang melakukan kerja baik pulih 25 rumah di Kelantan dan ada sebahagiannya sudah siap, kebanyakan rosak akibat banjir, manakala 25 buah lagi di Perak sedang disiapkan secepat mungkin agar penerima dapat mendiami semula rumah mereka dengan segera," katanya. 

Terdahulu, Ibrahim menyampaikan bantuan barangan persekolahan kepada 32 murid Sekolah Kebangsaan Seri Kaya, Bota, menerusi Program Kembali ke Sekolah di Maahad Tahfiz Al-Quran Tuan Guru Haji Abd Ghani.

Ibrahim turut menyerahkan replika cek bernilai RM3,000 kepada Pengetua maahad berkenaan, Mohd Adibul Hanan Shihabudin, bagi kegunaan pembangunan sekolah berkenaan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment