Wang simpanan RM140,000 lesap

Thursday, December 7, 2017

Wang simpanan RM140,000 lesap

Wang simpanan RM140,000 lesap

KUALA TERENGGANU - Seorang pesara hanya mampu ‘gigit jari’ apabila wang simpanannya berjumlah RM140,000 yang diserahkan kepada sebuah agensi pelaburan di Kelantan pada Mac tahun lalu, lesap begitu sahaja.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa berusia 56 tahun itu mulanya berhasrat untuk menambah pendapatan dengan bersetuju menyertai pelaburan tukaran mata wang ‘forex’ yang diperkenalkan oleh agensi terbabit, tahun lalu.

Katanya, disebabkan terlalu berminat, mangsa tanpa berfikir panjang terus bersetuju mencuba nasib dengan membuat pembayaran RM370,000 secara berperingkat ke dalam akaun bank diberikan wakil agensi itu untuk dilaburkan.

“Pada mulanya semua urusan pelaburan berjalan lancar yang mana agensi tersebut membuat pembayaran semula secara berperingkat ke dalam akaun mangsa seperti dijanjikan sebelum ini.

“Bagaimanapun, urusan pembayaran itu hanya dibuat sehingga November tahun lalu tetapi agensi tersebut turut berjanji akan menjelaskan baki pelaburan mangsa iaitu RM140,000 pada Disember tahun lalu,” katanya.

Idris berkata, mangsa yang tidak mengesyaki tipu muslihat agensi tersebut sabar menunggu tempoh dijanjikan tetapi sehingga kini, bayaran masih gagal dijelaskan, malah, talian yang sering dihubungi sebelum ini sudah tidak aktif .

“Disebabkan terlalu lama menunggu, mangsa cuba menghubungi talian yang sering dihubungi sebelum ini tetapi hampa, talian itu seolah-olah tidak wujud lagi.

“Akibat itu, mangsa yang yakin dirinya ditipu nekad membuat laporan polis Selasa lalu untuk tindakan lanjut serta mengharapkan baki wangnya dikembalikan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment