Tubuh pasukan penilaian risiko TLDM

Thursday, December 21, 2017

Tubuh pasukan penilaian risiko TLDM

Tubuh pasukan penilaian risiko TLDM

KUANTAN - Penubuhan pasukan penilaian risiko pengenalpastian bahaya oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berupaya mengurangkan risiko kejadian tidak diingini seperti kebakaran pada kapal TLDM, kata Panglima Markas Wilayah Laut Timur 1 (MAWILLA 1) Laksamana Muda Datuk Mohamad Adib Abdul Samad.

Beliau berkata pasukan itu yang ditubuhkan bulan ini melibatkan 40 anggota terpilih daripada 1,000 anggota TLDM di sini.

"Pasukan ini dibahagikan kepada lapan buah kapal di MAWILLA 1. Mereka ini bertanggungjawab untuk memeriksa keseluruhan kapal bagi memastikan setiap aspek keselamatan dipatuhi dan melaksanakan pemantauan risiko di kapal-kapal.  

รข€œJika wujud risiko kemalangan atau perkara buruk boleh berlaku, mereka akan membuat tindakan awal dan memaklumkannya kepada markas wilayah supaya tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan bencana yang lebih besar," katanya.

Mohamad Adib berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan latihan kebakaran di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini hari ini  yang turut disertai Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Penolong Penguasa Kanan Wan Mohd Nazlis Wan Ismail.

Beliau berkata  TLDM juga melakukan latihan berkaitan kecemasan, bukan hanya kebakaran, secara berkala sebagai persediaan memastikan setiap anggota dilengkapi pengetahuan sewajarnya untuk bertindak dalam situasi itu.

"Latihan juga dilaksanakan dengan agensi berkaitan setiap tahun mengambil kira penglibatan mereka dalam situasi sebenar. Kami juga mengadakan bedah siasat setiap latihan yang diadakan untuk tujuan penambahbaikan," katanya.

Mohamad Adib berkata  secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan tindakan pantas pasukannya menangani 'kebakaran' yang berlaku di atas sebuah kapal yang di pangkalan itu, sementara menunggu bantuan daripada bomba.

Sementara itu, Wan Mohd Nazlis memuji inisiatif TLDM untuk menjalankan latihan simulasi kebakaran bersama yang  menunjukkan tahap kesedaran yang baik dalam aspek pengendalian kebakaran.

Katanya pengalaman latihan itu juga berbeza daripada situasi biasa dialami pasukan bomba dan kali terakhir kebakaran kapal berlaku di Kuantan ialah pada 2012, membolehkan anggota bomba turut sama 'mengulang kaji' kemahiran mereka.

Pada latihan itu, seramai 100 anggota dan pegawai TLDM, bomba, polis marin dan Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) terlibat memadamkan 'api yang berpunca dari bilik jentera sebuah kapal'. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment