Rugi RM140,000 kerana nak tambah simpanan
KUALA TERENGGANU: Seorang pesara berputih mata selepas hasratnya menambah simpanan dengan menyertai pelaburan tukaran mata wang asing (Forex) menyebabkannya kerugian RM140,000.
Lelaki berusia 56 tahun itu mula melabur sehingga RM370,000 secara berperingkat dengan agensi pelaburan di Kelantan sejak Mac tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata urusan pelaburan berjalan lancar pada peringkat awal apabila agensi berkenaan membuat pembayaran semula keuntungan secara berperingkat ke dalam akaun mangsa seperti dijanjikan.
Bagaimanapun, katanya, agensi pelaburan itu hanya membuat pembayaran semula sehingga November tahun lalu, sebelum berjanji menjelaskan baki pelaburan mangsa sebanyak RM140,000 pada Disember tahun lalu.
"Mangsa yang mempercayai agensi pelaburan itu hanya menunggu wang pelaburannya.
"Namun, sehingga kini apa yang dijanjikan agensi pelaburan berkenaan tidak ditepati. Malah, usaha mangsa menghubungi agensi berkenaan gagal apabila talian telefon yang digunakan tidak lagi aktif.
"Selepas pelbagai usaha menjejaki agensi pelaburan itu gagal, mangsa menyedari dia ditipu. Mangsa membuat laporan polis kelmarin untuk tindakan," katanya.
Idris berkata, siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment