Penyitaan 10 juta tan stok bauksit ditarik balik

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menarik balik penyitaan stok bauksit lebih 10 juta tan di Pahang selepas kerajaan bersetuju memperkenalkan satu peraturan baharu mengekang perlombongan mineral itu.
Peraturan baharu itu dipersetujui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Jabatan Geosains dan Mineral serta kerajaan negeri Pahang bagi mengekang isu perlombongan bauksit secara tidak sah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kerugian kepada hasil kerajaan negeri.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata langkah itu diyakini dapat membantu dalam mengurangkan isu rasuah dan salah guna kuasa, khususnya membabitkan aktiviti bauksit haram.
Langkah itu turut membolehkan pengusaha bauksit mengeluarkan stok itu dalam tempoh moratorium yang masih berkuat kuasa.
"NRE dan kerajaan negeri juga menetapkan peraturan yang perlu diikuti pengusaha bauksit bagi menjamin pengeluaran stok bauksit dibuat secara teratur.
"Oleh yang demikian, pengusaha bauksit perlu menandatangani satu aku janji sebelum permohonan Approval Permit (AP) untuk mereka mengeluarkan stok diluluskan oleh NRE.
"Antara aku janji itu juga adalah bahawa mereka tidak akan terbabit dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, penarikan balik arahan penyitaan stok itu tidak bermakna perlombongan baharu dibenarkan di Pahang.
"SPRM akan bekerjasama dengan NRE dan kerajaan Pahang dalam memantau pemindahan stok bauksit yang telah diluluskan dan juga untuk memastikan tidak berlakunya perlombongan bauksit baharu di kawasan yang tidak dibenarkan oleh kerajaan negeri setakat ini," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya ada pihak didapati terbabit dalam perlombongan bauksit secara tidak sah, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka mengikut Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.
"Kami berharap orang ramai dapat memberi kerjasama kepada SPRM dengan membekalkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti perlombongan bauksit secara haram supaya tindakan sewajarnya boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment