Kapal korek tenggelam, kru selamat

KUANTAN: Sebuah kapal korek dinaiki 12 anak kapal tenggelam selepas bocor dan dipukul ombak setinggi tiga meter kira-kira lima batu nautika dari perairan Pulau Berhala, Pekan, kira-kira jam 6 pagi semalam.
Bagaimanapun, kapten kapal dan 11 awak-awak iaitu empat warga Indonesia serta lapan warga Thailand berjaya menyelamatkan diri menggunakan rakit penyelamat dan hanyut sejauh 10.9 batu nautika daripada lokasi kapal korek itu tenggalam selama kira-kira 13 jam.
Kru kapal warga Indonesia terbabit dikenali Dewiris Taupik,45, (kapten), Arifudin,34, Marzul,41 dan Suharnosow,63, manakala kru warga Thailand pula dikenali Thiraphong,38, Prapat,33, Santi, 63, Sothorn,48, Somchai,41, Teerasak,59, Thoedpong, 40, dan Daorung, 43.
Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Zulkarnain Mohd Omar, berkata Pusat Operasi Maritim Malaysia Wilayah Timur (PUSOP WILTIM) menerima maklumat daripada kapten bot tunda DICKSON 8 dikenali Khairul yang memaklumkan kejadian itu.
Katanya, mengikut maklumat awal, kapal korek itu dalam perjalanan dari Batam, Indonesia ke Thailand untuk dibaiki tetapi tenggelam selepas bocor pada bahagian kanan kapal dan dipukul ombak setinggi tiga meter.
"Kapten bot dan 11 awak-awak menyelamatkan diri menggunakan rakit penyelamat selama 13 jam sebelum diselamatkan bot tunda DICKSON 8 yang melalui kawasan itu lebih kurang jam 8.44 malam.
"Bot Tunda DICKSON 8 membawa semua kru ke Pelabuhan Kuantan kira-kira jam 9.30 pagi tadi, mereka dalam keadaan selamat dan hanya dua kru cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
"Kedutaan Indonesia dan Thailand sudah dihubungi bagi urusan dokumentasi dan penghantaran pulang," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, keadaan musim tengkujuh dengan cuaca yang tidak menentukan dan ombak di Laut China Selatan setinggi tiga hingga empat meter berbahaya kepada aktiviti perkapalan.
"Pihak Maritim Malaysia sentiasa memberi bantuan kepada komuniti maritim yang memerlukan bantuan kecemasan di laut.
"Komuniti maritim boleh berhubung terus dengan Maritim Malaysia sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini di laut di talian 09-5717345 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment