TTS, DBP terbit buku khazanah flora dan fauna

Sunday, November 19, 2017

TTS, DBP terbit buku khazanah flora dan fauna

TTS, DBP terbit buku khazanah flora dan fauna

KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah (TTS) meneruskan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menerbitkan buku bertemakan flora dan fauna yang ada dalam marin dan taman di bawah seliaannya.

Sehubungan itu, kedua-dua pihak hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneruskan kerjasama itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata selain meneruskan kerjasama, ia membolehkan TTS mendapat bimbingan DBP untuk meningkatkan lagi kualiti penulisan buku mengenai agensi terbabit.

"Saya berterima kasih kepada DBP kerana memilih untuk bekerjasama dengan TTS kerana saya difahamkan banyak agensi yang mahu menjalinkan kerjasama dengan DBP.

"Melalui kerjasama ini, TTS dapat menghasilkan buku berkualiti berkaitan khazanah negeri untuk dikongsikan kepada masyarakat sama ada di dalam atau luar negara," katanya pada sidang media selepas menyaksikan MoU itu.

Pada majlis itu, TTS diwakili Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood dan DBP diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Masidi berkata, kerjasama TTS dan DBP telah terjalin sejak tahun 2004 dan hasil bimbingan DBP, TTS menghasilkan lapan buku antaranya Refflesia Bunga Terbesar di Dunia yang ditulis oleh Pengarah TTS, Dr Jamili Nais.

"Selain itu menerusi MoU pada hari ini, TTS dan DBP bakal menyiapkan sebuah ensiklopedia yang akan menerangkan biodiversiti yang ada di seluruh kawasan taman serta marin, usaha pemuliharaan yang dijalankan serta keunikan di setiap stesen TTS," katanya.

Beliau berkata, usaha penulisan itu akan diteruskan oleh Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan TTS dari semasa ke semasa bagi memastikan matlamat yang telah disasarkan di dalam Pelan Strategik TTS 2025 tercapai.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment