Suspek serang polis tumpas kena renjatan

Thursday, November 16, 2017

Suspek serang polis tumpas kena renjatan

Suspek serang polis tumpas kena renjatan

MANJUNG: Polis terpaksa menggunakan senjata renjatan elektrik untuk menghalang serangan seorang pengedar dadah bersenjatakan pisau pemotong daging di Kampung Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an yang juga nelayan dan baru tiga bulan keluar penjara, bertindak demikian ketika mahu diperiksa oleh Ketua Balai Polis Pangkor, Inspektor Rushaidi Arshad.

Rushaidi sebelum itu bersama enam anggotanya melihat suspek dalam keadaan mencurigakan di tepi lorong di sebuah rumah di kampung terbabit.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian bertindak agresif dengan menghayunkan pisau pemotong daging dan cuba menyerang anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, anggota polis menggunakan senjata renjatan elektrik menyebabkan suspek rebah sebelum ditahan. Tiada anggota polis yang cedera," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut pada beg pinggang dipakai suspek, menemui 70 bijil pil dipercayai Eramin 5 seberat 19.41 gram dan 11 paket plastik lutsinar dan enam tiub straw lutsinar mengandungi dadah dipercayai heroin seberat 73.21 gram.

Katanya, yang turut ditemui, enam paket plastik dan 21 tiub straw lutsinar dipercayai berisi syabu seberat 8.11 gram dan dua paket plastik lutsinar dipercayai berisi ganja seberat 7.72 gram.

"Suspek dipercayai mengedar dadah untuk pasaran di sekitar pulau itu sahaja. Ujian air kencing mendapati lelaki itu juga positif morfin," katanya.

Bagi kesalahan berkaitan dadah, beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 6, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Selain itu, katanya, nelayan berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment