Pelajar SEMSAS penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Kebangsaan 2017

Tuesday, November 21, 2017

Pelajar SEMSAS penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Kebangsaan 2017

Pelajar SEMSAS penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Kebangsaan 2017

KUANTAN: Pencapaian cemerlang dalam bidang inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa memberi kelebihan kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) di sini, Muhammad Izzuddin Saiful Hisam, sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Kebangsaan 2017.

Tiga projek yang dihasilkannya iaitu papan simen hampas tebu, polimer daripada buangan kelapa sawit dan kertas daun nanas serta pembabitan dalam pasukan orkestra sekolah sebagai pemain seruling juga turut memberi kelebihan kepada remaja berusia 17 tahun itu.

"Saya tidak pernah membayangkan untuk meraih anugerah berkenaan kerana bukan mudah seseorang menerima anugerah tertinggi peringkat kebangsaan namun ternyata rezeki saya sudah tertulis hanya masa sahaja penentunya.

"Walaupun tidak berpeluang mengambil sendiri anugerah terbabit kerana sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun saya tetap bersyukur pengorbanan yang dicurahkan berakhir dengan kejayaan membanggakan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Majlis penyampaian anugerah itu diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah pada 9 November lalu.

Sebanyak 27 anugerah membabitkan pelbagai kategori pelajar, pasukan beruniform, guru, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pusat kokurikulum.

Muhammad Izzuddin yang mendapat sembilan A pada peperiksaan percubaan SPM berkata, tiga projek dihasilkan pernah bertanding di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dan projek kertas daripada daun nanas mendapat pingat emas dan anugerah khas pada pertandingan di Thailand awal tahun ini.

Anak ketiga daripada lima beradik itu dari FELDA Bukit Goh itu juga berkata, kejayaan itu membolehkannya menerima sijil penghargaan dan piala.

"Tahun ini adalah tahun gemilang buat diri saya apabila turut menerima Anugerah Gemilang Akademik sempena Bulan Kebajikan Negara 2017 dan saya menerima sijil penghargaan, piala dan wang tunai RM2,000.

"Diperingkat negeri pula, saya turut menerima Anugerah Cemerlang Kokurikulum Sekolah Menengah 2017 kategori lelaki," katanya yang bercita-cita menjadi doktor pakar.

Muhammad Izzuddin yang juga ketua pelajar lelaki dan pengawas sekolah berkata, dia berusaha mengurus waktu dengan baik bagi mengimbangi bidang akademik dan kokurikulum selain memberi tumpuan ketika guru mengajar dalam kelas.

"Pada masa terluang latihan bersama pasukan orkestra sekolah dilakukan terutama sebagai persiapan mengadakan persembahan di dalam dan luar negara, pasukan orkestra SEMSAS sebelum ini mengadakan persembahan di Singapura," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment