Pakatan Harapan perlu selesaikan masalah dalaman parti

Monday, November 20, 2017

Pakatan Harapan perlu selesaikan masalah dalaman parti

Pakatan Harapan perlu selesaikan masalah dalaman parti

KUALA LUMPUR - Permohonan Pakatan Harapan untuk didaftarkan masih belum dapat diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berikutan beberapa perkara dalaman parti-parti terlibat belum diselesaikan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini termasuk kegagalan DAP  menyelesaikan laporan pemilihan semula jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November lepas.

"ROS belum menerima laporan akhir dan senarai CEC terkini selepas pemilihan semula (DAP) itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bil 1/2017 di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan perhimpunan agung tahunan sejak pendaftaran parti itu diluluskan serta permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang belum diluluskan turut menyebabkan permohonan Pakatan Harapan tidak dapat dilakukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim hari ini bertemu Harapan yang mahu mendapatkan penjelasan mengenai status permohonan pendaftaran pakatan itu.

Ahmad Zahid berkata selain Alwi, pertemuan itu turut disertai pihak ROS dan penasihat undang-undang manakala Harapan diwakili pengerusinya yang juga Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi DAP Tan Kok  Wai, Ketua Setiausaha Sekretariat Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

[ARTIKEL BERKAITAN: KDN tak dimaklumkan rombongan Pakatan Harapan]

Beliau berkata pada pertemuan itu, Dr Mahathir meminta ROS memaklumkan kepada pihak Harapan jika terdapat ketidakaturan terhadap permohonan yang dikemukakannya supaya mereka boleh membuat pembetulan.

Sementara itu, Alwi yang turut hadir pada sidang berita itu, berkata Harapan perlu mematuhi prosedur pendaftaran pertubuhan serta perlembagaan parti masing-masing.

"Dua perkara itu masih belum diselesaikan oleh DAP dan Bersatu untuk membolehkan kita mengambil tindakan selanjutnya mengikut proses pendaftaran, dan dengan itu barulah kita boleh lakukan tindakan selanjutnya," kata beliau.

Pada 2 November lalu, ROS telah memaklumkan bahawa permohonan pendaftaran Harapan yang dibuat pada 24 Julai lalu masih dalam pertimbangan.

Baru-baru ini, ROS memberi amaran kepada Bersatu kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan.

DAP pula menghadapi masalah berkaitan pemilihan semula CEC sebelum ini yang tidak sah sehingga memaksa parti itu mengadakan semula pemilihan CEC baharu minggu lepas. รข€" Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment