Mesin judi RM2.3 juta dimusnahkan

Monday, November 20, 2017

Mesin judi RM2.3 juta dimusnahkan

Mesin judi RM2.3 juta dimusnahkan

PETALING JAYA: Polis melupuskan 3,885 mesin judi dalam talian dianggar bernilai RM2.3 juta susulan 628 serbuan ke atas premis judi yang beroperasi secara haram, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, semua mesin terbabit adalah hasil serbuan polis daerah ini antara Januari hingga Oktober lalu.

"Sepanjang tempoh itu juga, kita menahan 609 individu merangkumi penjaga premis pusat judi haram dan pelanggan, selain merampas 7,834 unit mesin judi.

"Hari ini, sebanyak 3,885 mesin judi berkenaan dilupuskan selepas kes selesai dibicarakan di mahkamah," katanya dalam sidang media pada Majlis Pelupusan Barang Kes Judi Online (JOL) di Balai Polis Ara Damansara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab; Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din; dan Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Nuruhuda Zakariya.

Menurut Mazlan, pengusaha pusat judi haram dilihat mengambil kesempatan mengaut keuntungan mudah ini dengan membuka pusat perjudian tanpa lesen termasuk di daerah ini.

Katanya, mesin judi merangkumi 3,826 unit komputer, simulator (41), komputer riba (15), tab (dua) dan sebuah iPad membabitkan 299 kertas siasatan itu dilupuskan selepas selesai pertuduhan di mahkamah mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dijatuhkan hukuman.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung premis atau kegiatan judi boleh menghubungi balai polis berhampiran atau talian Rakan Cop atau melalui aplikasi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di telefon mudah alih.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment