Jawatankuasa khas pantau aktiviti sungai di Johor

Sunday, November 19, 2017

Jawatankuasa khas pantau aktiviti sungai di Johor

Jawatankuasa khas pantau aktiviti sungai di Johor

KLUANG: Semua daerah di negeri ini diarah mewujudkan jawatankuasa khas bagi memantau aktiviti di sepanjang sungai di Johor bagi mengelakkan pencemaran pada sumber air mentah terus berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan, Datuk Ayub Rahmat, berkata kerajaan negeri memandang serius beberapa kejadian pencemaran sumber air di negeri ini sehingga menyebabkan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) perlu menghentikan operasi sekali gus menjejaskan bekalan air kepada penduduk.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan lagi berkompromi serta akan bertindak lebih tegas bagi memastikan bekalan air bersih kepada rakyat Johor terus terjamin.

"Saya sudah mengarahkan semua Pegawai Daerah mewujudkan jawatankuasa khas memantau sungai dan sumber air di daerah masing-masing dengan pembabitan semua agensi berkepentingan.

"Setiap daerah perlu ada inventori pemantauan lebih fokus terhadap segala aktiviti di sepanjang pesisiran sungai dan sumber air dan pemantauan perlu dilakukan secara berterusan sepanjang masa.

"Kita tidak mahu kejadian pencemaran ammonia terus berulang berkali-kali tanpa tindakan lebih proaktif menghalangnya sehingga menjejaskan operasi LRA memproses air sekali gus menjejaskan kehidupan penduduk apabila bekalan air terpaksa dihentikan," katanya di sini, hari ini.

Bulan lalu, tiga LRA di Kulai dan Kota Tinggi juga dihentikan operasi sementara akibat pencemaran ammonia bulan lalu yang menjejaskan kira-kira dua juta pengguna.

Semalam, dilaporkan sebuah kilang memproses kelapa sawit di Jalan Batu Pahat, dekat sini, digantung operasi selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta dan berkemungkinan dikompaun RM250,000 berikutan menyebabkan pencemaran ammonia pada sumber air mentah untuk bekalan air penduduk daerah ini.

Tindakan itu diambil selepas Ayub bersama beberapa agensi termasuk Badan Kawal Selia Air Johor ( BAKAJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ) mengadakan serbuan mengejut di kilang itu serta lokasi loji yang menjadi punca pencemaran ammonia di Batu 3, Jalan Batu Pahat.

Pencemaran dipercayai berlaku apabila sisa ammonia kolam air larutan resapan (leachate) kilang berkenaan dikesan melimpah sekali gus mencemari Sungai Amran dan Sungai Sembrong yang menjadi sumber air mentah utama untuk LRA Sembrong Barat.

Bacaan ammonia 20 perjuta (PPM) pada sumber air mentah berkenaan tengah hari kelmarin berbanding bacaan 1.5 PPM yang dibenarkan Kementerian Kesihatan menyebabkan LRA Sembrong Barat terpaksa menghentikan pemprosesan air mentah mulai jam 12 tengah hari Jumaat lalu menyebabkan 250,000 penduduk daerah ini terjejas bekalan air mereka.

Kira-kira 250,000 pengguna di daerah ini juga sudah memperoleh bekalan air secara berperingkat-peringkat berikutan LRA Sembrong Barat mulai dibuka semula sejak jam 5.30 pagi semalam dan bekalan air daerah ini dijangka pulih sepenuhnya hari ini.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment