Tuah robot kereta [METROTV]

Monday, November 20, 2017

Tuah robot kereta [METROTV]


Kuala Lumpur: Kecekapan robot kereta menyempurnakan tugas dalam masa ditetapkan melayakkan tiga sahabat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia muncul juara kategori Secondary dalam pertandingan World of Robotics National Championship (WRC) 2017, semalam.

Ketua Kumpulan 42, Muhammad Arif Erman, 14, berkata, dia bersama rakannya, Muhammad Hafizam Masril dan Ahmad Aiman Nor Azam, 14, perlu memprogramkan sebuah robot kereta yang diberikan penganjur bagi melengkapkan tiga tugasan dalam tempoh tiga jam.

“Kami menggunakan segala ilmu yang dipelajari daripada kelas intensif robotik sejak awal Januari lalu untuk memprogramkan robot berkenaan melalui komputer riba.

“Masa diberikan singkat yang mana setiap tugasan perlu diselesaikan dalam tempoh sejam.

“Alhamdulillah kami mampu memprogramkan robot itu dengan lengkap hingga berjaya menyelesaikan tugasan melontar bola hingga menjatuhkan kotak, menolak barang dan mengesan dinding dalam jarak 10 sentimeter dalam tempoh sejam setiap tugasan,” katanya selepas Majlis Penutup WRC 2017 di Asia Pasific University of Technology & Innovation (APU), di sini, semalam.

Hadiah kemenangan berupa trofi dan sijil disampaikan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Turut hadir, Pengarah Urusan World of Robotics Sdn Bhd Lee Yew Kein dan Ketua Pegawai Eksekutif APIIT Education Group Datuk Dr Parmjit Singh.

Seramai 575 pelajar dari 231 pasukan membabitkan 90 sekolah Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Kedah mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan pertandingan WRC 2017 yang bermula Sabtu lalu.



sumber: hmetro

0 comments:

Post a Comment