Tiga jam bawa keluar mayat

Monday, November 20, 2017

Tiga jam bawa keluar mayat



PEMANDU lori yang maut selepas kenderaan membawa muatan bijih besi terjunam ke dalam gaung di Kilometer 83 Jalan Aring-Sungai Gawi di Kuala Berang, hari ini, dikenal pasti sebagai B Jeganathan, 38.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa yang berasal dari Shah Alam, Selangor tersepit dalam kenderaannya dan tertimbus dalam timbunan bijih besi itu.

Menurutnya, mayat hanya dapat dibawa keluar dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang selepas mengambil masa kira-kira tiga jam.

"Berdasarkan siasatan awal lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan kemudiannya terjunam ke dalam gaung dalam kejadian kira-kira 3 petang itu.

"Berdasarkan maklumat, lori berkenaan dikatakan dari arah Aring, Gua Musang menghala ke Sungai Gawi dan gagal di kawal ketika melalui kawasan selekoh di lokasi," katanya.

Menurutnya, mayat pemandu lori itu dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, Portal Berita MyMetro melaporkan pemandu lori dipercayai tertimbus selepas kenderaannya terbabas ke dalam gaung.

Sepasukan lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang bergegas ke lokasi dengan satu jentera selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.18 petang.

Berita berkaitan:

รข€¢ Pemandu lori dipercayai tertimbus



sumber: hmetro

0 comments:

Post a Comment