Syarikat periksa pam tipu bacaan

Monday, November 20, 2017

Syarikat periksa pam tipu bacaan

Syarikat periksa pam tipu bacaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan melantik satu syarikat untuk memeriksa dan memantau ketepatan pam stesen minyak bagi mengekang unsur penipuan bahan api.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata semua mesin pam yang digunakan di stesen minyak perlu mengikut piawaian dan beberapa peraturan.

Katanya, setiap operator pam minyak tertakluk kepada peruntukan undang-undang untuk menentukan semula aras ketepatan mesin apabila tamat tempoh setiap tahun.

"Ada yang cadangkan kerajaan buat penguatkuasaan di stesen minyak bagi memastikan penyaluran isi padu petrol dan diesel selari dengan ukuran di panel bacaan.

"Kita sudah melantik satu syarikat untuk pastikan semua mesin pam mengikut peraturan ditetapkan, selain menyemak semula mesin mereka apabila tamat tempoh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) pada sesi perbahasan mendakwa segelintir pengusaha stesen minyak di negara ini cuba mengaut 'keuntungan atas angin' dengan menukar sukatan mesin pam, sekali gus memanipulasi isi padu bahan api yang dibekalkan.

Tanpa menyatakan nama syarikat terbabit, Hamzah berkata, pemeriksaan berkala boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, tanpa perlu menunggu tempoh tamat mana-mana pam di stesen minyak.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment