SMK Paya Rumput cipta sejarah

Tuesday, November 21, 2017

SMK Paya Rumput cipta sejarah

SMK Paya Rumput cipta sejarah

MELAKA TENGAH - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput di sini, sekali lagi mencipta sejarah apabila memenangi pertandingan Amalan Terbaik Disiplin peringkat kebangsaan, melalui program I See.

Walaupun mendapat naib johan, tetapi pertandingan anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan (KPM) itu memberi makna yang sangat besar kepada pihak sekolah.

Pengetuanya, Rubaiya Abu Nawas berkata, selain itu sekolah turut memenangi tiga lagi anugerah, iaitu Anugerah Emas Pameran, Anugerah Emas Dokumentasi dan Anugerah Penarafan 5 Bintang Pengurusan Disiplin.

“Kemenangan ini memberi impak positif kepada sekolah ini, sekali gus dorongan kepada guru disiplin bagi menangani masalah ponteng sekolah.

“Program I See yang dicipta untuk pertandingan ini adalah satu kaedah baru sesuai pada era ini, dan memenuhi Standard Kualiti Pendidikan Gelombang Kedua dalam Penarafan Sekolah,” katanya.

Kata Rubaiya, menerusi sistem ini mereka mudah mengesan pelajar yang mengalami masalah kehadiran dan pelajar terbabit akan melalui sesi kaunseling, seterusnya mengikut prosedur operasi standard ditetapkan KPM.

Beliau berkata, program ini cetusan idea ketua guru disiplin, Mohd Azif Shukor serta guru pengawas, Yanti Hartiny Hamidon yang dilaksanakan pada 3 Januari lalu.

Katanya, kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa sokongan PIBG SMK Paya Rumput di bawah kepimpinan Dr Bahsharudin Mohd Sharif.

Atasi masalah disiplin

“Program I See menepati kriteria NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) iaitu pelaksanaan yang berimpak tinggi dengan kos rendah, ada unsur kreativiti serta inovasi,” katanya.

Ujar Rubaiya, melalui program ini pihak sekolah dapat meningkatkan peratus kehadiran pelajar ke sekolah, sekali gus kadar masalah disiplin makin menurun.

“Melalui I See, data lewat hadir diurus secara autentik dan memudahkan kerja guru kerana ia boleh diakses dengan cepat serta tepat.

“Pertandingan ini membolehkan guru memanfaatkan sepenuhnya ICT melalui aplikasi kod QR dan Bullk SMS yang boleh dimuat naik secara percuma daripada Google Play Store,” katanya.

Jelasnya, dengan cara itu didapati pencapaian akademik pelajar dalam peperiksaan pertengahan tahun dan percubaan semakin meningkat.

“Kaedah baru ini juga dapat merapatkan hubungan sekolah dengan ibu bapa, penjaga, masyarakat setempat (sarana PIBG), sekolah, PPD dan JPN,” katanya.

Selain itu, program yang dilaksanakan turut memberi keyakinan kepada pengawas untuk memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas.

“Pada program ini, pengawas juga bertugas secara auntentik dalam mengurus data analisis kehadiran murid di atas talian,” katanya.

Pada 2015 juga, SMK Paya Rumput mendapat naib johan melalui inovasi Program My Vest dalam Amalan Terbaik Disiplin di peringkat kebangsaan dan Penarafan Disiplin 5 Bintang.

Rubaiya berharap, SMK Paya Rumput berjaya muncul johan pada tahun hadapan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment