Lahir generasi celik al-Quran

Tuesday, November 21, 2017

Lahir generasi celik al-Quran

Lahir generasi celik al-Quran

Dalam usaha melahirkan generasi celik al-Quran dan memberi dorongan kepada murid lain, satu Majlis Khatam Al-Quran diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, di sini.

Guru Besar SK Batu Melintang, Shuhaili Salleh berkata, seramai 15 murid tahun enam, lima dan empat berjaya khatam al-Quran.

"Majlis Khatam Al-Quran merupakan salah satu daripada modul yang terkandung dalam program J-Qaf yang diperkenalkan sebelum ini, dan ia kini diserap sepenuhnya ke dalam program bersepadu Pendidikan Islam.

"Saya mengharapkan pendidikan formal di sekolah ini akan menjadi kesinambungan cinta al-Quran dalam kalangan generasi muda," katanya selepas program.

Hadir sama, Penyelia Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah, Halid Osman dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Batu Melintang, Khairuddin Omar.

Suhaili berkata, pihaknya mahu memupuk kecintaan dan minat kepada al-Quran yang merupakan salah satu agenda untuk menghidupkan syiar Islam di samping untuk memahirkan bacaan dalam kalangan murid.

"Majlis seperti ini perlu dilakukan setiap tahun bagi memberi galakkan dan semangat kepada murid lain untuk membaca kalam ALLAH.

"Saya juga mahu melihat murid-murid SK Batu Melintang yang beragama Islam 100 peratus boleh mengenal huruf dan membaca al-Quran," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Panitia Pendidikan Agama Islam SK Batu Melintang, Noraini Abdullah berkata, setiap murid yang khatam al-Quran dipantau oleh guru Pendidikan Agama Islam (PAI).

Katanya, setiap surah yang dibaca oleh murid direkodkan oleh guru PAI masing-masing.

"Kami bermula dengan bacaan Iqra di tahun satu untuk setiap murid beragama Islam dan dari situ kita akan lihat murid mula boleh membaca surah-surah yang lain sehingga khatam al-Quran," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment