Rai calon cemerlang UPSR: GMGB, NUTP tak sependapat

Tuesday, November 21, 2017

Rai calon cemerlang UPSR: GMGB, NUTP tak sependapat

Rai calon cemerlang UPSR: GMGB, NUTP tak sependapat

KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan utama mewakili guru di negara ini berbeza pendapat berhubung permintaan Kementerian Pendidikan supaya tidak meraikan hanya murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong supaya majlis seumpama itu tidak perlu diadakan tetapi Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGB) berpandangan sebaliknya.

Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak, berkata majlis meraikan calon cemerlang UPSR hanya membabitkan 'beberapa kerat' murid sahaja, justeru tidak wajar diadakan secara besar-besaran.

Katanya, majlis itu turut dibimbangi akan mengganggu emosi calon lain yang tidak mendapat keputusan cemerlang atau membanggakan.

"Kalau hendak buat juga, mungkin perlu diubah sedikit seperti menghargai semula pelajar termasuk mereka yang tidak cemerlang ketika ujian percubaan tetapi lulus dalam ujian sebenar.

"Selain itu, hargai juga murid yang cemerlang dalam aktiviti kokurikulum, mempunyai tokoh kepemimpinan dan pencapaian lain pada majlis sama supaya mereka tidak berasa dipinggirkan," katanya kepada BH, hari ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, semalam meminta pihak sekolah supaya meraikan semua calon UPSR berbanding hanya bertumpu kepada mereka yang memperoleh semua A.

Ini bagi menjaga perasaan calon lain yang tidak cemerlang dan berasa dipinggirkan.

Keputusan UPSR akan diumumkan Khamis ini.

Sementara itu, Yang Dipertua GBGM, Ghazali Abdullah, mempertahankan tindakan sekolah mengadakan majlis meraikan calon cemerlang kerana ia tanda menghargai kerja keras dan penat lelah calon menghadapi UPSR.

Katanya, majlis itu juga boleh menjadi sumber motivasi kepada murid junior khasnya Tahun 5 untuk bekerja keras bagi mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR tahun berikutnya seperti diperoleh senior mereka.

"Saya fikir jangan disekat majlis seperti itu kerana apabila ada kejayaan daripada murid yang berjaya selepas berusaha keras, sudah tentu kita hendak menghargainya.

"Lagipun, cikgu juga bersemangat mengadakan majlis itu kerana ia platform untuk menghargai calon UPSR cemerlang hasil bimbingan dan didikan mereka.

"Ia ibarat dalam satu perlumbaan, mereka yang menang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga diraikan.

"Itu lumrah. Lagipun ia diraikan bukan secara berlebihan, mengikut kemampuan sekolah.

"Bagi calon yang kurang cemerlang, tidak bermakna apabila tidak naik ke pentas, dunia mereka sudah 'kiamat'. Peluang mereka masih ada sehingga ke Tingkatan 5 dan peringkat lebih tinggi," katanya.

Ghazali turut bersetuju dengan cadangan agar majlis meraikan kecemerlangan murid diadakan sekali dengan majlis menghargai murid yang berjaya dalam bidang kokurikulum atau aktiviti mengharumkan nama sekolah.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment