PPBM percaya tidak langgar perlembagaan ROS

Thursday, November 16, 2017

PPBM percaya tidak langgar perlembagaan ROS

PPBM percaya tidak langgar perlembagaan ROS

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetap percaya tiada pelanggaran terhadap perlembagaan parti dan undang-undang dalam pengurusan dan pentadbiran parti seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, berkata keyakinan itu hasil nasihat pakar undang-undang mengenai aduan terbabit.

Katanya, PPBM sudah memberikan penjelasan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung beberapa aduan yang dibuat terhadap parti.

"Saya sendiri hadir ke ibu pejabat ROS di Putrajaya, Selasa lalu untuk memberi keterangan kepada pegawai ROS dalam membantu siasatan berhubung aduan itu, " katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook (FB) rasmi PPBM, di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Surayati Ibrahim, hari ini dilaporkan berkata parti itu berdepan kemungkinan dibubarkan pendaftarannya oleh ROS, sekiranya masih gagal menyelesaikan masalah dalamannya dan mengadakan AGM, yang kini sudah melepasi tempoh sepatutnya pada September lalu.

Beliau berkata, kelemahan struktur organisasi PPBM yang menyebabkan parti itu gagal mengadakan AGM seperti dikatakan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, ia adalah tanggungjawab parti itu untuk diselesaikan.

Shahruddin berkata, PPBM sudah mengemukakan permohonan kepada pihak ROS supaya memberikan pelanjutan masa mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke tahun depan berikutan PPBM masih dalam proses menubuhkan cawangan parti di seluruh negara.

Katanya, penangguhan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 26 Julai lalu.

Beliau berkata, menurut Perlembagaan PPBM, perwakilan yang menghadiri persidangan di peringkat bahagian mestilah terdiri daripada wakil cawangan di dalam bahagian berkenaan.

"Justeru, berdasarkan Perlembagaan PPBM, persidangan bahagian tidak boleh diadakan sehinggalah penubuhan cawangan disempurnakan dan didaftarkan dengan ROS.

"Berdasarkan kehendak perlembagaan PPBM, perhimpunan agung PPBM juga tertakluk kepada persidangan bahagian kerana perwakilan ke perhimpunan agung terdiri daripada perwakilan yang dipilih di dalam persidangan bahagian," katanya.

Shahruddin berkata, PPBM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak ROS pada 30 November ini untuk merungkaikan beberapa isu berkaitan perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966 berhubung penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan PPBM dan mendapatkan panduan ROS mengenai hal berkenaan.

"Saya ingin menegaskan bahawa setiap tindakan yang diambil oleh PPBM adalah berdasarkan kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

"Justeru, tidak timbul isu pelanggaran perlembagaan parti dan undang-undang dilakukan oleh PPBM seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment