MB Terengganu arah JPS siasat punca banjir
KUALA BERANG: Susulan banjir yang melanda di Terengganu, kerajaan negeri mahu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian terperinci mengenai punca yang mengakibatkan banjir berlaku dalam tempoh singkat di enam daerah di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata meskipun baru dua hari hujan namun sudah ramai mangsa dipindahkan kerana kawasan penempatan mereka dinaiki air.
Ahmad Razif berkata, berdasarkan rekod lalu, kebiasaannya banjir hanya akan berlaku selepas hujan lebat dalam tempoh masa lima hingga enam hari.
"Saya khuatir projek pembangunan yang giat dijalankan menjadi punca banjir berlaku dengan cepat.
"Bagaimanapun, pihak kami akan berusaha sedaya upaya memastikan masalah ini dapat diatasi segera," katanya kepada media selepas membuat lawatan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini.
Mengulas mengenai sistem tambakan yang dihanyutkan ombak di Pantai Kolam, Mengabang Telipot, Kuala Nerus, Ahmad Razif berkata, pihaknya kini sedang membuat kajian terperinci untuk menangani masalah itu.
"Sebenarnya kita sudah mendapat kelulusan bajet daripada kerajaan persekutuan, cuma kita kini sedang menunggu penelitian teknikal untuk reka bentuk pemecah ombak atau benteng terbaik sebelum projek itu dijalankan.
"Ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan namun kerja sementara sudah dilakukan dan kerajaan sudah mengarahkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk meluluskan segera peruntukan sebagai tindakan sementara sekiranya berlaku hakisan yang teruk," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment