Mayat Muhammad Faliq ditemui

Sunday, November 19, 2017

Mayat Muhammad Faliq ditemui

Mayat Muhammad Faliq ditemui

LENGGONG: Mayat kedua tragedi bot karam di Sungai Perak di Kampung Kelantan di sini ditemui pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Mohd Annuar Mohd Saff, berkata mayat Muhammad Faliq Fadzil, 26, ditemui pada jam 7.55 pagi.

"Anggota kami yang meneruskan operasi mencari pagi ini menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung di permukaan air.

"Mangsa ditemui kira-kira 100 meter jarak dari mangsa pertama ditemui semalam," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Mohd Annuar berkata, ketika ditemui tubuh mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat Muhammad Faliq dibawa ke Jeti Tasik Raban sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Dengan penemuan ini, kami menghentikan operasi yang dilakukan sejak petang Sabtu lalu," katanya.

Sementara itu, ibu Muhammad Faliq, Nor Hashimah Hashim, 48, berkata dia dan keluarga reda dengan kejadian yang berlaku.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana doa dan solat hajat kami (anak ditemui hidup atau mati) dimakbulkan Allah.

"Terima kasih kepada semua pihak terutama anggota bomba dan polis yang berusaha mencari anak saya," katanya.

Semalam, mayat rakan Muhammad Faliq, Amirul Asyraff Abdullah, 24, ditemui jam 10.10 pagi.

Dua rakan itu dikatakan menyewa bot di Tasik Raban dekat sini dan pergi memancing di Sungai Perak jam 8 pagi Sabtu lalu sebelum bot mereka naiki karam selepas dipercayai terlanggar tunggul kayu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment