Bimbang kes jenayah meningkat

Sunday, November 19, 2017

Bimbang kes jenayah meningkat

Bimbang kes jenayah meningkat

SHAH ALAM - Kawasan taman permainan Seksyen 24A Shah Alam, yang tidak dipagar sepenuhnya menjadi keluhan penduduk yang mendiami kawasan di situ.

Sebelum ini, kawasan sekitar perumahan yang terbuka telah dipagar dengan menggunakan wang penduduk sendiri kecuali di kawasan taman permainan yang terletak dalam kawasan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian baru-baru ini mendapati, memang benar ada pagar yang tidak dipasang hingga selesai selepas dibantah beberapa penduduk di sini.

Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 24A Shah Alam, Abd Hamid Hamzah berkata, pihaknya membangkitkan isu itu selepas berlaku banyak kes jenayah terutama pada waktu malam.

"Semua pagar jaring dipasang tapi tidak di kawasan taman permainan. Rayuan permohonan kami juga ditolak sebanyak dua kali.

"Kami bukannya apa, selain membuka peluang kepada penjenayah untuk memasuki kawasan itu kanak-kanak juga bermain di situ dan berdekatan dengan perumahan kami. Pernah ada warga asing yang melepak di buaian dan keesokan paginya banyak botol minum keras ditinggalkan.

"Itu yang paling kami risaukan," katanya selepas sesi dialog bersama wakil rakyat Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail dan penduduk Seksyen 24A serta wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Abd Hamid berkata, kawasan perumahan di sini memang berpagar, tetapi orang ramai yang memasuki taman boleh keluar masuk ke kawasan itu dengan begitu mudah tanpa pengawasan.

Ini terbukti apabila wartawan sendiri dengan mudah memasuki kawasan perumahan itu dengan hanya berjalan kaki dan melintas melalui taman permainan yang tak berpagar!

Akan rujuk Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Sementara itu, Rodziah berkata, memang dalam satu-satu kawasan perancangan pihak pemaju akan membina taman khusus penduduk sekitar perumahan berkenaan.

Namun, di tanah yang digazet oleh kerajaan negeri Selangor ada menyatakan bahawa mana-mana tanah lapang, semua pihak boleh memanfaatkan dan ia milik semua orang termasuk penggunaan taman permainan.

"Setakat ini kita tak nampak lagi garis panduan yang jelas daripada pihak MBSA berhubung pemasangan pagar. Kita dapati belum ada dasar jelas yang membolehkan mana-mana tempat untuk ikut prosedur ini.

"Saya sebagai wakil rakyat nak tengok kedua-dua pihak dalam situasi menang-menang. Kita tak boleh berpihak sama ada penduduk atau pihak Majlis semata-mata.

"Ada inisiatif rakyat nak buat sendiri (pasang pagar)..tapi apa pun ia masih di bawah Akta 133," katanya.

Rodziah ketika mempengerusikan majlis sesi dialog bersama penduduk di Shah Alam.

Jelasnya lagi, pihaknya akan merujuk dan berpaut kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mengenai garis panduan bagi melihat isu ini.

Tambah beliau, jika pembinaan pagar ini masih belum diluluskan kelak, adalah diharapkan pihak penduduk sedia mendengar dan kembali memenuhi syarat dan keperluan seperti duduk semeja bagi mencari solusi.

Rodziah memberitahu, surat daripada penduduk telah dijawab MBSA pada 3 Julai 2017 selain pihaknya menerima kembali surat itu pada 3 November lalu yang menyatakan permohonan ditolak

MBSA perhalusi setiap permohonan

Dalam pada itu, MBSA akan memperhalusi setiap permohonan diterima daripada penduduk berhubung penubuhan komuniti berpagar dan kejiranan berpengawal di kawasan perumahan.

Ahli Majlis MBSA, Awang Ibrahim berkata, antara garis panduan ditetapkan pihaknya sebelum ini adalah mengenai persetujuan sekurang-kurangnya 79 peratus penduduk di sesuatu kawasan perumahan dengan konsep berkenaan.

“MBSA menyokong usaha berkenaan dalam mengurangkan kadar jenayah di kawasan penempatan masing-masing, namun kita juga mengambil kira pandangan segelintir penduduk yang tidak bersetuju dengan konsep itu kerana perlu menanggung kos tertentu.

“Walaupun MBSA menerima permohonan mengenai penubuhan komuniti berpagar dan kejiranan berpengawal, namun kita meneliti setiap (permohonan) itu secara terperinci,” katanya.

Awang berkata, konsep berkenaan juga perlu mengambil kira beberapa aspek teknikal lain termasuk laluan keluar serta syarikat yang mengendalikan perkara tersebut.

Katanya, dalam kes di Seksyen 24A, ini adalah isu kali pertama yang dibangkitkan penduduk di Bandaraya Shah Alam dan pihaknya akan mengemukakan aduan atau bantahan mereka semasa mesyuarat penuh MBSA, supaya langkah terbaik yang lain boleh diusahakan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment