Kerajaan Kelantan perlu capai belanjawan lestari

Tuesday, November 21, 2017

Kerajaan Kelantan perlu capai belanjawan lestari

Kerajaan Kelantan perlu capai belanjawan lestari

KOTA BHARU: Kerajaan negeri perlu mencari sumber pendapatan lain tanpa terus mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Pusat bagi mencapai belanjawan lestari dengan kewangan yang kukuh.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata setiap tahun, kerajaan negeri memerlukan RM50 juta hingga RM60 juta untuk belanja mengurus, tidak termasuk geran untuk penyelenggaraan jalan raya berjumlah RM180 juta hingga RM200 juta setahun.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan Kelantan yang mencecah 4.8 peratus pada tahun lalu juga disokong oleh pelbagai projek pembangunan dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) membelanjakan sebanyak RM6.3 bilion pada tahun lalu merangkumi RM5.2 bilion bagi belanja mengurus dan RM1.1 bilion bagi pembangunan, manakala kerajaan negeri hanya membelanjakan sebanyak RM961 juta pada tahun lalu.

"Jika mengikut nisbahnya 6:1 ataupun dalam bahasa mudahnya, Kerajaan Persekutuan membelanjakan sebanyak RM6 bagi setiap RM1 yang dibelanjakan (kerajaan negeri) Kelantan," katanya ketika membahaskan Bajet 2018 yang dibentangkan kerajaan Kelantan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Kerajaan Kelantan semalam membentangkan Bajet 2018 dengan anggaran defisit sebanyak RM41.74 juta berbanding RM42.65 juta dalam Bajet 2017, menyasarkan perolehan hasil sebanyak RM696.90 juta.

Sementara itu, Mustapa (BN-Ayer Lanas) ketika ditemui di luar dewan, berkata beliau melahirkan rasa sedih terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang tidak menghargai pelbagai bantuan yang dihulurkan oleh Kerajaan Persekutuan terutama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Kerajaan Persekutuan memberi pelbagai bantuan terutama membangunkan projek di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Dalam perlembagaan, Kerajaan Persekutuan tidak perlu membangunkan projek di bawah PBT seperti pembinaan pasar basah, taman awam ataupun masjid, namun kita tetap laksanakan untuk membantu rakyat," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment