Hospital swasta bantu kukuh perpaduan nasional

Thursday, November 16, 2017

Hospital swasta bantu kukuh perpaduan nasional

Hospital swasta bantu kukuh perpaduan nasional

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, hospital swasta boleh berperanan sebagai pemangkin untuk mengukuhkan perpaduan nasional.

Perdana Menteri berkata, ia boleh dicapai menerusi pemberian sumbangan atau menjalankan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pesakit yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Kalau dalam bidang sukan, seperti badminton, apabila (Datuk Lee) Chong Wei bermain, semua sokong Chong Wei. Ia satu bentuk mempromosi perpaduan nasional.

"Dalam bidang kesihatan pula, jika kita (hospital swasta) beri sumbangan atau derma, ia bukan sahaja menyokong tetapi mempromosi dan memperkukuhkan perpaduan nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Hospital Tung Shin (TSH) dan Chinese Maternity Hospital (CMH) di Jalan Pudu, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr J Loga Bala Mohan dan Presiden TSH merangkap Pengarah CMH, Tan Sri Khoo Chai Kaa.

Najib turut mengumumkan pemberian bantuan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM3 juta bagi menyiapkan pembinaan Pusat Rawatan Jantung di TSH.

Terdahulu, Perdana Menteri turut memuji hospital swasta yang menawarkan kos perkhidmatan kesihatan berpatutan termasuk tidak mengenakan bayaran kepada pesakit miskin.

"Perkhidmatan kesihatan yang kerajaan sediakan adalah sebagai tanggungjawab sosial dan dikenakan bayaran dengan kadar minimum, maka perbelanjaan kerajaan meningkat.

"Pada tahun 2017 sahaja, kita belanja sehingga RM24 bilion untuk kos perkhidmatan kesihatan dan kutip RM600 juta sahaja.

"Kerajaan terpaksa menggunakan hasil daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), cukai langsung dan tidak langsung, cukai persendirian dan cukai korporat untuk tampung.

"Bila hospital ini sanggup taja rawatan, maka ia dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment