Defisit Belanjawan 2018 menurun

Monday, November 20, 2017

Defisit Belanjawan 2018 menurun

Defisit Belanjawan 2018 menurun

KOTA BHARU - Belanjawan Kelantan 2018 menyaksikan perbelanjaan defisit iaitu RM41.74 juta iaitu menurun berbanding defisit 2017 berjumlah RM42.65 juta.

Belanjawan yang bertemakan Kelantan Sejahtera Untuk Islam ini juga memberi tumpuan dalam penambahbaikan empat teras utama iaitu keberkatan, kemakmuran, kebajikan dan kecekapan.

Anggaran hasil 2018 dijangka diperoleh sebanyak RM696.90 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM182.88 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM355.58 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM158.44 juta.

Jumlah tersebut menyaksikan peningkatan hasil sebanyak RM59.92 juta ataupun sebanyak 9.41 peratus berbanding anggaran hasil tahun 2017 iaitu RM636.98 juta.

Hasil tanah mengatasi hasil hutan sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah RM239.96 juta atau 34.43 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM82.06 juta ataupun sebanyak 51.96 peratus. Hasil tanah juga meliputi pungutan cukai tanah sebanyak RM45.74 juta, premium tanah RM8.74 juta serta notis dan denda lewat bayaran cukai tanah sebanyak RM5.65 juta.

Anggaran perbelanjaan mengurus bagi tahun 2018 dijangka sebanyak RM738.64 juta berbanding RM679.63 juta pada tahun 2017 iaitu meningkat sebanyak RM59.01 juta ataupun sebanyak 8.68 peratus merangkumi perbelanjaan tanggungan sebanyak RM25.52 juta dan perbelanjaan bekalan sebanyak RM713.11 juta.

Anggaran perbelanjaan pembangunan pula berjumlah RM312.14 juta yang dibiayai di bawah peruntukan negeri sebanyak RM222.14 juta dan RM90 juta daripada sumber pinjaman.

Kerajaan mengekalkan sumbangan tahunan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebanyak RM1 juta dan meneruskan peruntukan RM1 juta kepada prasarana material pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II. Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri pula diperuntukkan sebanyak RM1.25 juta untuk perbelanjaan mengurus.

Kerajaan juga memperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan sebanyak RM47.71 juta iaitu RM39.78 juta sebagai perbelanjaan mengurus dan sebanyak RM7.93 juta untuk melaksanakan pelbagai program.

Kerajaan negeri juga turut memperuntukkan RM110.5 juta untuk tujuan pendidikan dan RM2.2 juta untuk program pembinaan insan yang disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri.

RM57.65 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus kepada semua 10 Pejabat Tanah dan Jajahan termasuklah Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil, Lojing. Dari segi kebersihan dan pengurusan sisa pepejal, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.4 juta bagi tujuan tersebut dan RM2.4 juta daripadanya adalah bagi tujuan pembelian 12 lori kompaktor kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagi program pembangunan pelancongan dan kebudayaan, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM3.2 juta. Malah kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM1.88 juta untuk program masyarakat antara kaum.

Kerajaan negeri juga akan membayar bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 seorang tahun depan yang akan dibayar secara berperingkat.

Kerajaan negeri bersetuju untuk mengecualikan cukai pintu bagi premis-premis yang dikenakan cukai RM50 ke bawah dan memberi bantuan One-Off RM100 kepada pelajar-pelajar tingkatan satu daripada keluarga miskin yang mendaftar di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan.

Kerajaan turut sediakan bantuan sara hidup RM1,200 setahun kepada penarik beca berdaftar yang akan dibayar dua kali pembayaran.

Malah kerajaan juga mengumumkan bayaran denda berkaitan premium tanah dan bayaran denda lewat bayar cukai tanah diberikan diskaun sebanyak 90 peratus selain sambungan percuma semula meter air.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment