Beri tumpuan sama rata

Tuesday, November 21, 2017

Beri tumpuan sama rata

Beri tumpuan sama rata

GONG BADAK - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan melaksanakan program khas untuk bantu murid yang kurang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pendekatan itu dibuat bagi memastikan semua pelajar diberi tumpuan sama rata dan tidak hanya mengutamakan pelajar yang cemerlang dalam akademik semata-mata.

Menurutnya, langkah drastik itu diambil susulan arahan Kementerian Pendidikan yang meminta semua negeri tidak mengadakan majlis bagi meraikan murid yang cemerlang terutamanya dalam UPSR.

“Kita hormati dan akur dengan keputusan yang dibuat Kementerian Pendidikan dan kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk patuhi arahan berkenaan.

“Hasrat kementerian itu adalah untuk memberikan perhatian kepada pelajar yang kurang cemerlang, tetapi kita kadang-kadang hanya beri tumpuan kepada murid yang cemerlang sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Transformasi Siswazah Terengganu (TGTP) di Hotel Tabung Haji dan Pusat Konvensyen Terengganu, di sini, semalam.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk mengadakan program khusus untuk murid yang kurang cemerlang supaya mereka tidak tersisih sebaliknya turut diberi tumpuan sama rata  

“Usaha ini dibuat agar apabila mereka memasuki sekolah menengah, mereka berjaya tingkat pencapaian akademik yang lebih baik dan akhirnya menjadi cemerlang.

"Sememangnya telah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memastikan semua murid dan pelajar sekolah di negeri ini cemerlang dalam pencapaian akademik masing-masing," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment