Akur tiada keraian untuk calon UPSR cemerlang

Tuesday, November 21, 2017

Akur tiada keraian untuk calon UPSR cemerlang

Akur tiada keraian untuk calon UPSR cemerlang

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) diminta mengeluarkan pekeliling kepada semua Sekolah Kebangsaan (SK) di negeri ini untuk tidak mengadakan majlis meraikan calon pencapaian terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan diumumkan Khamis ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata semua pengurusan sekolah perlu akur dengan arahan itu demi menjaga hati murid serta ibu bapa yang anak mereka kurang mendapat keputusan cemerlang.

Katanya, kerajaan negeri akur dan menyokong penuh arahan dikeluarkan Kementerian Pendidikan dan pengurusan semua sekolah rendah diminta mematuhinya.

Ini kerana katanya, murid yang mendapat keputusan kurang cemerlang juga menyumbang kepada gred purata sekolah.

"Kerajaan negeri berpendapat adalah lebih baik JPNT dan pengurusan sekolah rendah mencari kaedah untuk tingkatkan usaha bagi membantu semua calon UPSR mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan akan datang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Tranformasi Siswazah Terengganu (TGTP), di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tranformasi kerajaan negeri, A Latiff Awang serta Pengurus Besar Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (TASDEC), Saidi Salleh.

Ahmad Razif berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang meminta pihak sekolah perlu meraikan semua calon UPSR yang diumumkan Khamis ini dan bukannya hanya menumpukan kepada murid memperoleh semua A.

Mahdzir dilaporkan berkata, segala usaha dilakukan murid dan guru perlu diraikan secara keseluruhannya dan bukannya secara terpilih atau berkumpulan.

Ketika mengulas larangan Pengarah Jabatan Pendidikan tidak dibenarkan mengumumkan keputusan UPSR di jabatan seperti dilakukan sebelum ini, Ahmad Razif berkata, arahan itu amat bertepatan bagi mengelakkan berlakunya kebocoran keputusan lebih awal daripada ditetapkan kementerian.

"Berdasarkan arahan itu, keputusan UPSR akan diumumkan pihak sekolah pada jam 10 pagi di semua sekolah selain ibu bapa boleh mengetahui keputusan melalui online," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment