Berjuang lawan penyakit tulang rapuh
KEMAMAN - Walaupun disahkan penyakit tulang rapuh kronik yang dideritainya sejak 35 tahun lalu tiada harapan untuk sembuh, Che Wan Zawawi Che Wan Jusoh, 53, tidak menyerah kalah.
Sehingga sekarang, peniaga kedai makan dari Kampung Che Wan, Kijal, itu tetap kental melawan penyakitnya dengan mengambil ubat setiap hari.
Pengambilan ubat itu untuk mengelakkan kuman di dalam tulang betisnya merebak ke bahagian lain dan seandainya keadaan itu berlaku, kedua-dua kakinya terpaksa dipotong dari paras betis.
Che Wan Zawawi berkata, jika keadaan memaksa dan ditakdirkan kedua-dua kakinya dipotong, dia reda.
"Namun selagi saya diberi rezeki merasa 'nikmat' ini, saya akan terus bertahan, iaitu akan teruskan rutin saya mengambil ubat setiap hari untuk elakkan kuman di bahagian tulang betis merebak.
"Bukan saya tak mahu buat pembedahan tapi pembedahan juga tak dapat hilangkan kuman pada tulang betis saya walaupun tulang betis dipotong," katanya ketika berkongsi kisahnya yang berjuang melawan penyakit tulang rapuh kronik pada program Sinar Live.
Sehingga kini, Che Wan Zawawi sudah menjalani lima pembedahan di betis kanan dan kiri.
Pembedahan seterusnya dijangka dilakukan pada bulan ini, namun disebabkan usianya yang semakin lanjut dan atas nasihat doktor, dia mengambil keputusan untuk tidak menjalani pembedahan berkenaan.
Bercerita lanjut, dia berkata, dia mula menderita penyakit itu sejak berusia 18 tahun selepas kaki kanannya patah semasa bermain bola, namun ketika itu dia hanya mendapatkan rawatan tradisional.
"Selama lima tahun saya cuma berubat kampung sebelum betis kiri saya pula patah semasa sedang berjalan. Ekoran itu saya dapatkan rawatan di hospital.
"Bagaimanapun waktu itu kaki kiri saya cuma disimen, tetapi lepas beberapa tahun, kedua-dua betis saya mula membengkok dan pada usia 25 tahun, doktor sahkan saya menghidap penyakit tulang rapuh," katanya.
Menurutnya, berdasarkan keterangan doktor, penyakit berkenaan jarang dihidapi dan puncanya sehingga sekarang belum diketahui sama daripada genetik, pemakanan atau sebagainya.
Pun begitu, anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, tiga lagi adik beradiknya turut menghidap penyakit sama dan ketiga-tiganya sudah meninggal dunia.
"Abang sulung saya meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman pada tulang rahang manakala seorang lagi abang saya dan adik perempuan turut alami sakit seperti saya iaitu kuman dalam tulang betis.
"Kedua ibu bapa saya sihat dan tidak menghidap penyakit ini," katanya.
Berikutan penyakit itu, beberapa inci tulang betisnya juga pernah dipotong bagi mengelakkan kuman merebak, namun Che Wan Zawawi masih mampu berjalan dengan menggunakan tongkat.
"Itulah kebesaran ALLAH SWT kerana walaupun saya sudah hilang lebih separuh tulang betis, tetapi saya masih lagi boleh berjalan.
"Yang penting kena kuat semangat dan jangan putus asa kerana setiap ujian itu ada hikmah," katanya.
Che Wan Zawawi berkata, ekoran terpaksa menjalani pembedahan demi pembedahan, luka pada betisnya juga tidak pernah sembuh kerana dia juga menghidap kencing manis.
"Jadi menjadi rutin saya setiap hari untuk membersihkan luka pada betis," katanya sambil memberitahu kos untuk pembelian susu dan alatan mencuci lukanya sekitar RM200 sebulan.
Che Wan Zawawi berkata, isterinya juga menghidap penyakit kronik iaitu mempunyai ketumbuhan berdekatan bahagian jantung.
Namun, sakit kronik yang dialami tidak menghalang mereka untuk berniaga, malah kedai makan yang diusahakan di tepi pantai Kampung Che Wan kini sedang dinaik taraf untuk memberi lebih keselesaan kepada pelanggan.
Che Wan Zawawi berkata, menjadi impiannya untuk menaik taraf kedai makan mereka menjadi sebuah restoran pada masa akan datang.
"Ini menunjukkan penyakit yang dideritai tidak halang saya untuk kejar cita-cita kerana ia bergantung pada diri sendiri.
"Kepada pesakit kronik lain di luar sana, tabah dan bersabarlah hadapi ujian kerana walaupun kita merasa kesakitan yang dialami terlalu berat, ada orang lain yang lebih berat lagi ujian mereka," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment