Isu surat rasmi: Ahli MBIP, Exco digesa mohon maaf

Wednesday, September 26, 2018

Isu surat rasmi: Ahli MBIP, Exco digesa mohon maaf

Isu surat rasmi: Ahli MBIP, Exco digesa mohon maaf

KOTA TINGGI - Tindakan Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang mengeluarkan surat rasmi dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris tidak sepatutnya berlaku.

Adun Panti, Hahasrin Hashim berkata, selain menggambarkan pihak berkuasa tidak mengikut perlembagaan, tindakan itu juga memperlihatkan rakyat Malaysia tidak fasih bahasa kebangsaan sendiri.

“Tindakan Ahli Majlis itu dilihat tidak menghormati semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memperuntukkan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia ialah bahasa Melayu.

“Tindakan sebegini bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh, sebaliknya kerajaan negeri harus mengambil tindakan serius,” katanya dalam kenyataan, semalam.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Johor murka: Bahasa Cina dalam surat rasmi ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Umno desak DAP nyatakan pendirian isu bahasa Melayu ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Harap isu surat bahasa Cina tidak diperbesar: Exco ]

Tambahnya, seperti titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar apa sahaja urusan surat menyurat membabitkan kerajaan negeri atau Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) semuanya mesti dalam bahasa Melayu kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat.

Beliau yang merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Tenggara berkata, namun demikian, Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Tan Hong Pin pula mengeluarkan kenyataan balas bahawa tujuan perbuatan tersebut adalah untuk memaklumkan mungkin di kalangan penduduk yang tidak fasih bahasa Melayu.

“Usahlah YB exco menangguk air yang keruh berkenaan isu ini. Sebelum ini, tidak pernah wujud masalah surat-menyurat rasmi kerajaan dikeluarkan dalam bahasa Melayu.

“Tindakan mengeluarkan surat rasmi dalam pelbagai bahasa ini bukanlah tindakan wajar. Pihak kerajaan negeri juga tidak perlu menegakkan benang yang basah dengan menyatakan bahawa surat dwibahasa ini hanya berdasarkan semangat muhibah,”katanya lagi.

Jelasnya, telah terbukti di mana-mana negara sekali pun, bahasa yang sama berjaya membentuk satu bangsa yang kuat dan merupakan wadah dalam memastikan konsep perpaduan sentiasa utuh.

Oleh demikian, beliau menggesa Hong Pin dan pihak Ahli Majlis MBIP perlu memohon maaf secara terbuka kepada Tuanku Sultan Johor serta Bangsa Johor kerana telah mencabar kedudukan bahasa Melayu malahan melanggar dasar penyampaian kerajaan kepada rakyat dan bukan berdolak-dalik serta berpolitik tentang perkara itu.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment