Pas hormati titah Sultan Johor
JOHOR BAHRU - Pas Johor memandang serius terhadap isu tindakan seorang Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam surat rasminya.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, isu tersebut telah menyebabkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka.
Menurutnya, Sultan Johor bertitah bahawa sebarang urusan rasmi sama ada membabitkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor seharusnya ditulis dalam bahasa Melayu.
"Walaupun Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Johor, Tan Hong Pin dan Adun Perling, Cheo Yee How telah menjelaskan bahawa Ahli Majlis MBIP, Chan Wei Khjan tidak berniat untuk memperlekeh bahasa Melayu namun tindakan tersebut dilihat sebenarnya akan mencetuskan perbalahan dalam masyarakat.
"Pas Johor berpandangan bahawa kerajaan PH negeri Johor mestilah meletakkan keutamaan terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi," katanya dalam satu kenyataan.
Abdullah berkata, tiada sebab dan alasan untuk penggunaan bahasa yang lain seandainya rakyat di negeri Johor memahami dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian mereka.
Katanya, Pas Johor juga mengingatkan agar semua pihak menghormati titah yang telah disampaikan oleh Sultan Johor.
"Jangan membawa perkara ini ke kancah politik kerana titah baginda adalah untuk kesejahteraan semua rakyat Johor," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment