Ratusan ikan air tawar mati

Monday, July 2, 2018

Ratusan ikan air tawar mati

Ratusan ikan air tawar mati

SEGAMAT - Ratusan ikan air tawar pelbagai spesies mati selepas dipercayai dituba pihak tidak bertanggungjawab di Sungai Segamat.

Pemancing yang ingin dikenali sebagai Nazri berkata, dia menyedari kejadian tersebut ketika hendak memancing bersama rakan-rakannya.

“Sedang kami mencari tempat sesuai untuk memancing, kami terhidu bau bangkai.

“Kami terkejut mendapati ratusan ikan air tawar pelbagai spesies seperti baung, lampan dan tengkalan sudah mati dan hampir membusuk. Saya percaya ikan-ikan tersebut mati akibat dituba,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia menganggap tindakan itu sebagai zalim kerana menyebabkan induk ikan mati malah sangat berbahaya kerana jika tidak dicegah, ianya boleh menyebabkan banyak spesies ikan pupus dan terancam.

Katanya, tidak salah jika mahu menangkap ikan, tetapi perlu dilakukan mengikut cara betul dan bukannya dengan menuba kerana tindakan tersebut tidak beretika dan hanya mendatangkan kerugian.

“Bagi pemancing seperti saya, saya tidak mengharapkan jumlah tangkapan banyak, kerana memancing ini hanya sekadar hobi untuk hilangkan tekanan kerja. Malahan, terdapat pelbagai lagi cara untuk tangkap ikan selain menuba seperti menjala dan memasang jaring.

“Saya percaya, jika tiada tindakan daripada pihak bertanggungjawab, bau busuk bertambah teruk kerana aliran air tasik yang perlahan akan menyebabkan bangkai ikan tersebut terdampar begitu sahaja di tebing tasik,” katanya.

Menurutnya, dia kecewa dengan kejadian tersebut dan berharap mereka yang melakukan kerja ini tidak akan mengulanginya pada masa akan datang selain khuatir ubat tuba itu boleh mendatangkan mudarat kepada mereka yang memakan ikan tersebut.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment