PKNP gagal sekat Tok Gajah
PKNP gagal merealisasikan hasrat beraksi di pentas final Piala FA apabila tumpas secara agregat 3-2 setelah dijinakkan Pahang 1-2 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Perak, malam tadi.
Pada perlawanan berkenaan, kedua-dua pasukan bermula garang apabila masing-masing melakukan asakan ke kubu lawan dalam usaha membuka jaringan.
PKNP hampir meledak jaringan pembukaan menjaringkan gol awal perlawanan pada minit ke-28, namun percubaan kaptennya, Mohamad Hafiz Ramdan berjaya dikekang pertahanan lawan.
Tersentak dengan percubaan itu kesebelasan skuad Tok Gajah itu mula bangkit mengatur asakan ke gawang Perak dan hasilnya penyerang import, Austin Amutu berjaya memanfaatkan peluang dengan merembat leret bagi menewaskan penjaga gol PKNP, Ahmad Asyraaf Omar pada minit ke-32.
Kedudukan berkenaan kekal hingga tamat babak pertama biarpun Perak dilihat mengasak hebat ke kubu Pahang.
Babak kedua menyaksikan, pasukan tuan rumah menyusun lebih banyak gerakan bagi mencari gol penyamaan namun beberapa percubaan berjaya diselamatkan penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias.
Sebaliknya, penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha pula yang merembat masuk untuk gol kedua pelawat pada minit ke-76.
PKNP akhirnya berjaya merapatkan jurang gol menerusi pemain importnya, Franklin Anzite, yang menyempurnakan sepakan penalti setelah pertahanan Pahang tertampan bola menggunakan tangan pada minit ke-81.
Jaringan berkenaan bagaimanapun dilihat sudah terlalu lewat untuk menyekat Pahang yang terus kental bertahan sehingga ke wisel penamat.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment