Pemilik akaun diminta jumpa SPRM

Monday, July 2, 2018

Pemilik akaun diminta jumpa SPRM

Pemilik akaun diminta jumpa SPRM

PETALING JAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta semua pemilik akaun berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  yang dibekukan supaya berunding dengan SPRM untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, matlamat Pasukan Petugas Khas 1MBD adalah untuk mendapatkan kembali ke semua wang 1MDB yang disalurkan ke dalam akaun-akaun terlibat.

Katanya, wang yang disalurkan itu adalah wang haram dan disalurkan secara tidak sah.

“Kita minta supaya pemilik-pemilik akaun sama ada individu, mana-mana syarikat, persatuan-persatuan atau badan-badan politik supaya datang bertemu SPRM untuk kita bincang dan selesaikan perkara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran buku Corruption and Crime In Malaysia, hari ini.

Semalam, Pasukan Petugas Khas 1MBD telah membekukan sebanyak 480 akaun bank melibatkan dana 1.1 bilion ringgit daripada akaun milik puluhan individu, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pada 26 dan 29 Jun lalu.

Dalam satu Kenyataan semalam, Pasukan Petugas Khas 1MDB memaklumkan akuan yang dibekukan itu turut membabitkan 81 individu dan 55 syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.

Pada masa sama, Mohd Shukri turut meminta pemilik-pemilik akaun tersebut untuk memulangkan wang tersebut secara sukarela bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

“Saya menyeru supaya pemilik-pemilik akaun ini datang berbincang dengan sprm dan kita akan tunjuk bukti bahawa wang tersebut datang daripada 1MDB dan kita minta supaya mereka serahkan kembali secara sukarela.

“Kalau tidak, kami akan ambil tindakan melalui undang-undang melalui dua cara sama ada melalui permohonan mahkamah untuk melucut hak atau melalui proses saman,” katanya.

Katanya, jumlah RM1.1 bilion adalah berdasarkan daripada jumlah akaun yang dijejaki Pasukan Petugas Khas 1MDB setakat hari ini.

“Berkemungkinan jumlah itu akan meningkat sekiranya masih terdapat akaun terlibat yang berjaya dijejaki oleh agensi itu.

“Esok lusa ia akan meningkat dan kemungkinan ada banyak lagi akaun-akaun yang akan di jejaki lagi malah ia juga tidak termasuk akaun-akaun di luar negara,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment