Pembangkang persoal ketelusan kerajaan

Tuesday, July 3, 2018

Pembangkang persoal ketelusan kerajaan

Pembangkang persoal ketelusan kerajaan

IPOH - Pembangkang Dun Perak melahirkan kebimbangan terhadap perjalanan persidangan Dun Perak selepas ini apabila permulaannya tidak menunjukkan ketelusan.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dalam soal pencalonan Speaker, sepatutnya kesemua calon termasuk yang menarik diri diumumkan di dalam Dewan tetapi Setiausaha Dun, Kamarulariffin Ayub tidak berbuat demikian.

Beliau berkata, berdasarkan borang pencalonan yang dihantar, terdapat dua calon dari kerajaan dan dua lagi dari pembangkang tetapi Setiausaha Dun hanya memaklumkan kepada Dewan terdapat tiga pencalonan.

“Adalah malang sebaik sahaja bermula, Setiausaha Dewan berada dalam keadaan yang tertekan. Kita berpandangan bahawa beliau dilihat seolah-olah ditekan untuk menceritakan keadaan sebenarnya tentang bilangan calon yang menawarkan diri untuk menjadi Speaker Dun. Apa yang kita dapati pihak setiausaha hanya menyebut tiga nama sahaja sedangkan semua orang tahu ada empat nama yang dicadangkan dihantar. Itu menyebabkan kami bangun bertanya menceritakan kebenaran.

“Ini merupakan perkara yang serius kerana berbohong di dalam Dewan. Satu amalan tidak baik ketika mana mereka menguar-uarkan untuk mewujudkan Malaysia baharu yang lebih telus dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas tamat Persidangan Dun Perak, hari ini.

Zambry berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat dua nama yang dikemukakan kerajaan iaitu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail untuk dicalonkan sebagai Speaker Dun.

Katanya, walaupun Siti Aishah menarik diri, ia perlu dimaklumkan kepada Dewan kerana pencalonannya dibuat secara rasmi dengan menghantar borang.

Beliau berkata, tindakan itu memberikan persepsi tidak baik terhadap integriti Dun yang akan bersidang selepas ini.

“Bayangkan suatu proses yang seawal beginipun sudah dimanipulasi dan sudah dibuat usaha-usaha penipuan yang menutup perkara-perkara yang sepatutnya tidak ditutup. Saya tidak tahu demokrasi apa yang mula nak diamalkan ini.

“Saya difahamkan ia berlaku disebabkan masalah dalaman mereka. Mereka cuba untuk menyembunyikan krisis dalam yang agak serius kerana adalah sesuatu yang memalukan jika pihak kerajaan mengumumkan dua calon daripada mereka,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment