Gedung pakaian popular digempur Imigresen
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia menggempur sebuah gedung pakaian popular di Jalan Munshi Abdullah, di sini, Jumaat lalu.
Serbuan pasukan Imigresen Kuala Lumpur ini dijalankan kira-kira jam 8 malam, hasil maklumat dan risikan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, seramai 132 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 43 pendatang asing tanpa izin (Pati) terdiri daripada 39 lelaki dan empat wanita telah ditahan.
Menurutnya, semakan mendapati tujuh daripada mereka merupakan warga Indonesia, manakala 36 lagi Pati adalah warga Bangladesh.
"Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Kita akan terus menjalankan operasi tanpa memilih bulu dalam usaha memastikan kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan negara terjamin serta terpelihara," katanya, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mustafar turut menegaskan pihaknya telah memberikan tempoh yang secukupnya bagi majikan mendaftarkan pekerja warga asing mereka. Namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh sesetengah majikan dan mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.
Mengulas lanjut, semenjak Ops Mega 3.0 dilaksanakan dari 1 hingga Jumaat lalu, Imigresen telah menjalankan 595 operasi dan daripada itu, seramai 5,607 warga asing diperiksa dan 1,475 Pati telah ditahan.
"Sementara itu, seramai 28 majikan turut ditangkap," katanya.
Katanya lagi, daripada jumlah keseluruhan Pati yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia iaitu seramai 7,327 orang diikuti oleh warga Bangladesh (4,483 orang), Filipina (2,237 orang), Myanmar (2,188 orang) dan bakinya adalah dari negara-negara lain.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment