3 Adun BN umpama cili padi

Monday, July 2, 2018

3 Adun BN umpama cili padi

3 Adun BN umpama cili padi

ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Harapan mahupun Pas seakan mengharapkan sokongan tiga Adun BN yang dikatakan penentu kepada kedudukan Dun Kedah.

Adun terbabit, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) dan Datuk Nor Sabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) memainkan peranan penting dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Speaker Dun dan Timbalannya.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, Adun BN terbabit akan menjadi garis penentu kemenangan salah satu pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang diwakili Pas.

“Uniknya, penentu kemelut ini adalah tiga Adun daripada parti minoriti dalam Dun. Kecil-kecil cili padi, walau kecil tapi sangat pedas! Dalam konteks ini, siapa akan jadi sambal belacan kenalah tunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemubual dalam rancangan FB Live Sinar Harian bertajuk ‘Kemelut Politik Kedah. Apa Kesudahannya’ di sini, hari ini.

Menurutnya, sama ada BN akan berikan sokongan kepada Pas atau Harapan hanya akan diumumkan Rabu, namun mereka tetap perlu hadir dan boleh ambil sikap berkecuali (tidak mengundi).

“Tiga kemungkinan boleh berlaku. Adakah Pas bincang dengan BN wujudkan pakatan, mengambil sikap tidak undi atau masing-masih mahukan Pilihan Raya Negeri (PRN). Mungkin perbincangan belakang tabir sudah berlaku, yang kita tidak tahu perinciannya,” katanya.

 Md Shukri berkata, apa yang tersirat juga perlu diambil kira kemungkinan mempengaruhi keputusan kelak, iaitu kemesraan Adun, hubungan rakan dan kekeluargaan serta arahan parti.

“Hubungan itu akan atasi kongkongan politik kepartian. Namun ramai ramalkan PRN adalah pilihan terakhir kerana tiada siapa yang untung jika hanya berpolitik 24 jam. Sekarang adalah masa untuk bangunkan negeri setelah diberi mandat, berikan hak kepada pilihan rakyat, jangan ganggu gugat hak itu,” katanya.

Menurutnya, antara opsyen terbaik adalah tiga Adun BN itu tidak menyokong dan memberi kelebihan kepada kerajaan.

“Opsyen lain termasuk, Pas menarik balik cadangan calon yang mereka kemukakan atau bersikap berkecuali. Biarkan parti kerajaan melantik Speaker dan Timbalannya. Kemelut ini beri kesan besar kepada kestabilan politik dan kerancakan pelaburan, diharap semua parti berjiwa besar dan fikirkan kepentingan negeri,” katanya.

Md Shukri berkata, inilah masanya untuk semua Adun memberi kerjasama kepada kerajaan sedia ada susulan wujudnya keserasian antara kerajaan negeri dan Pusat.

“Jika semua enggan mengalah, jawapannya hanya PRN. Namun risikonya lebih besar, adakah Pas yakin kerusi milik mereka tidak susut jumlahnya, atau BN bakal hilang semua kerusi gara-gara PRN. Jadi, janganlah ego, ambil iktibar keputusan PRU14,” katanya.

Menurutnya, semua pihak harus memikirkan kesannya kepada rakyat, bukan rakus mahu runtuhkan kerajaan Harapan.

“PRN hanya buang masa dan wang. Masih ada masa untuk perbincangan antara parti terlibat untuk elakkan PRN. Jangan ada unsur sabotaj kerana ia akan jadikan parti itu defisit kepercayaan daripada rakyat, lebih baik pupuk kerjasama,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment