Vingada tagih sentuhan penyudah tajam Syafiq
NELO Vingada menyenaraikan penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad ke kem latihan Harimau Malaya sebagai persiapan aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Thailand, minggu depan.
Penyerang B-22 negara itu antara lapan pemain baharu yang dipanggil Vingada.
Tujuh pelatih lain pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) diketuai penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, Junior Eldstal, Afiq Fazail, S Kunanlan dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.
Sementara itu, Vingada mengekalkan 16 pemain daripada skuad yang tewas 2-0 kepada Hong Kong pada 10 Oktober lalu, bagi senarai 24 pemain untuk kem latihan kali ini.
Bagi kem latihan pusat kali ini, 10 pemain dari Perak, Pahang, Selangor, Felda United dan Pulau Pinang perlu melaporkan diri pada Sabtu ini di Wisma FAM, manakala baki 14 pemain dari JDT dan Kedah perlu melaporkan diri pada Isnin, kerana terlibat dengan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, malam Sabtu ini.
Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Buriram melalui Bangkok pada Selasa depan, untuk dua aksi menentang Korea Utara, dengan negara Asia Timur itu menjadi tuan rumah pada 10 November, manakala Malaysia menjadi tuan rumah tiga hari kemudian.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bulan lalu bersetuju supaya perlawanan tersebut dimainkan di gelanggang berkecuali, selepas tiga kali di tangguhkan sejak Mac lalu berikutan ketegangan hubungan diplomatik kerana pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.
Dengan berbaki tiga perlawanan lagi, Malaysia menduduki tangga tercorot Kumpulan B selepas hanya meraih satu mata selepas seri menentang Hong Kong dan tewas kepada Hong Kong pada perlawanan timbal balik dan Lebanon.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment