Sasar 20,000 hektar jagung bijian menjelang 2023

Wednesday, November 15, 2017

Sasar 20,000 hektar jagung bijian menjelang 2023

Sasar 20,000 hektar jagung bijian menjelang 2023

SUNGAI PETANI: Kerajaan menyasar memperluaskan projek tanaman jagung bijian sedia ada di seluruh negara, dengan sasaran keluasan keseluruhan mencecah 20,000 hektar menjelang 2023.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, berkata sasaran itu susulan maklum balas positif diterima daripada pengusaha yang berminat mengusahakan projek berkenaan.

Beliau berkata, kementerian memberi galakan tinggi khususnya kepada usahawan muda untuk membabitkan diri dalam penanaman jagung bijian yang terbukti mampu mendatangkan hasil lumayan.

"Daripada membiarkan tanah tanpa diusaha, lebih baik kita tanam jagung yang lebih bernilai kerana tanaman ini lebih murah, mudah diuruskan dan cuma memerlukan air yang mencukupi.

"Rentetan projek perintis di Kampung Dadong di Kemaman, Terengganu, kerajaan mengenal pasti beberapa lokasi lain yang berpotensi sebagai tambahan kepada kawasan sedia.

"Ia merangkumi 758 hektar di 10 negeri seperti Johor, Melaka, Pahang, Perak, Kedah, Terengganu, Perlis, Sabah dan Sarawak. Kita sasarkan keluasan 20,000 hektar tanah bagi tanaman jagung bijian menjelang 2023.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Penuaian dan Pusat Operasi Jagung Bijian Fasa Ke-3 Kampung Sungai Batu di Mukim Bujang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pertanian Kedah, Mohamed Bukhori Abdul Rahman

Mohd Sallehhuddin berkata, ladang diusahakan pemuda dari Kedah, K Ramanaidu, 27, di Kampung Sungai Batu, boleh dijadikan model tanaman jagung bijian di negara ini yang mempunyai keluasan sebanyak 58 hektar.

Beliau yakin negara akan mempunyai saintis, sumber penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta benih jagung bijian mencukupi menjelang 2023.

Katanya, kerajaan menjalankan pelbagai usaha termasuk membangunkan benih dan mekanisasi tanaman jagung bijian bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kepada jagung import.

"Kalau kita mengharapkan satu benih sahaja, kita tak ada banyak benih dalam negara. Mungkin benih itu dari segi ketahanannya mulai merosot selepas tiga empat musim, jadi kita memerlukan pembangunan benih yang lain.

"Sekarang kita bergantung pada benih import dari syarikat besar seperti dari Thailand, China dan Eropah. Kalau boleh kita nak bangunkan sendiri benih yang sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment