Lelaki rebah direnjat polis

Thursday, November 16, 2017

Lelaki rebah direnjat polis

Lelaki rebah direnjat polis

SERI MANJUNG - Polis terpaksa menggunakan senjata renjatan elektrik terhadap seorang lelaki disyaki penagih dan pengedar dadah yang cuba melawan ketika ditahan di Kampung Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor, jam 3.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, sepasukan polis dari Pulau Pangkor cuba menahan suspek berusia 30-an yang kelihatan mencurigakan, namun dia melawan menggunakan pisau pemotong daging.

“Suspek mengayun parang ke arah anggota polis dan ini memaksa anggota melepaskan tembakan menggunakan taser gun bagi mengawal keadaan. Suspek yang rebah ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya pada sidang media, semalam.

Muhammad Hanif berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan beberapa barang kes bernilai RM2,199.79.

“Polis menemui tujuh foil mengandungi 70 biji dadah jenis eramin 5 seberat 19.41 gram, 11 paket lutsinar dan enam tiub straw dipercayai heroin seberat 73.21 gram, enam paket lutsinar dan 21 tiub straw dipercayai syabu seberat 8.11 gram dan dua paket plastik dipercayai ganja seberat 7.72 gram," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing suspek yang baru tiga bulan keluar dari penjara didapati positif morfin.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Beliau berharap, orang ramai terus menyalurkan maklumat supaya tindakan segera dapat diambil.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment