Hampir 200 mangsa dipindahkan di Jeli

Tuesday, November 28, 2017

Hampir 200 mangsa dipindahkan di Jeli

Hampir 200 mangsa dipindahkan di Jeli

JELI - Hujan yang berterusan sejak Khamis lalu menyebabkan beberapa buah kampung di sini mula ditenggelami air sejak awal pagi tadi.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Sungai Satan, Legeh dan Kampung Rahmat mendapati 159 mangsa dari 39 keluarga sudah mula meninggalkan rumah masing- masing dan mendiami pusat pemindahan yang dibuka hari ini.

Mangsa, Mohd Rizalman Ramli, 36 berkata, rumahnya mula dinaiki air kira- kira jam 8 pagi tadi berikutan hujan tanpa henti sejak jam 4 pagi.

"Setiap tahun kami berdepan situasi sama. Pagi tadi air di halaman rumah dah paras pinggang, sebelum kami terkepung lebih baik berpindah.

"Memang dah boleh jangka, sebab hujan berterusan sejak beberapa hari lalu. Malam tadi pun jam 2 pagi baru saya tidur bimbang air naik bila- bila masa, " katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Kesedar di sini, hari ini.

Mohd Rizalman berkata, paras air di halaman pernah mencapai paras leher ketika banjir 2014, bagaimana dia bernasib baik kerana air tidak menenggelamkan rumahnya kerana binaannya yang agak tinggi.

Mohd Rizalman (kiri) tekun mendengar pesanan dan peringatan daripada Zaidi di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Kesedar Sungai Satan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Sungai Satan, Zaidi Abd Talib, seramai 25 magsa dari lapan keluarga Dari Kampung Sungai Satan dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan yang dibuka sejak jam 9 pagi itu.

Menurutnya, kesemua mangsa merupakan penduduk di kawasan tepi sungai menyebabkan mereka lebih berisiko.

Dalam pada itu, mangsa banjir di Kampung Rahmat Luar, Muhamad Nafi Abdullah, 53 berkata, walaupun setiap tahun berdepan situasi sama, namun dia tidak ada pilihan lain selain terus bertahan.

Menurutnya, disebabkan berpuluh tahun menjadi mangsa banjir, segala persiapan dilakukan sebaik menjengah November.

"Perkara biasa. Tak ada tempat lain dah nak pergi. Bulan 11 (November) dan 12 (Disember) memang kita akan siap sedia, " katanya yang mula meninggalkan rumah untuk ke pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas sekitar jam 3.15 petang.

Muhamad Nafi berkata, air di kawasan berkenaan mula naik sekitar jam 7.30 pagi dan ketika mereka sekeluarga meninggalkan rumah air di halaman sudah berada paras paha.

Penghulu Mukim Wakaf Zin, Alias Salleh berkata, sehingga jam 4 petang, seramai 54 mangsa dari 13 keluarga dari Kampung Rahmat Luar dan Ayer Lanas Blok Tanah Merah sudah dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan yang mula dibuka jam 10.20 pagi itu.

Difahamkan seramai 80 mangsa dari 18 keluarga di Kampung Legeh dipindahkan ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Legeh yang dibuka kira- kira jam 3 petang.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment