Anak tergamak tetak ibu, pukul bapa

Wednesday, November 1, 2017

Anak tergamak tetak ibu, pukul bapa

Anak tergamak tetak ibu, pukul bapa

JITRA - Seorang anak berusia 28 tahun sanggup mencederakan kedua ibu bapanya hingga parah di Kampung Baru Sri Muda, Sungai Korok, di sini, pagi tadi selepas berang apabila mangsa membuat laporan mengenai aktiviti dadahnya hingga menyebabkan dia ditahan beberapa bulan yang lalu.

Ketua Polis daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan laporan yang dibuat oleh ibu bapanya, menyebabkan suspek ditahan pihak Agensi Antidadah  Kebangsaan (AADK).

Mohd Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi selepas anggotanya yang sedang bertugas di Pondok Polis Sungai Korok, di sini menerima laporan orang awam berhubung kejadian seorang anak menetak ibu bapanya di kampung tersebut.

“Anggota kami kemudian bergegas ke rumah mangsa dan menemui ibu suspek berusia 64 tahun dalam keadaan lemah dan berdarah pada bahagian muka berada dalam rumah jiran sebelah dan melihat seorang lelaki (suspek) sedang duduk  mencangkung di hadapan rumah dengan gergaji besi di sebelahnya.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah mangsa menemui mangsa lelaki (bapa suspek) berusia 67 tahun terbaring di dapur rumah sebelum menahan suspek dan merampas sebilah parang bersama penimbang air (alat ukuran air),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek mengamuk ketika ibunya sedang memasak di dapur.

“Suspek mengaku menetak ibunya menggunakan gergaji di bahagian belakang badan dan kemudian memukul bapanya menggunakan penimbang air...menyebabkan ibu suspek cedera di bahagian pipi kanan disyaki terkena senjata tajam, luka di bahu serta lebam-lebam di seluruh badan akibat dipukul hingga ibu jari tangan kanan dan sendi jari patah.

Bapa suspek pula cedera pada bahagian urat perut yang pecah dan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar,” katanya dan menambah suspek juga positif dadah jenis ganja, heroin dan syabu selepas menjalani ujian air kencing.

Polis turut merampas sebatang gergaji berhulu besi  sepanjang 55cm dan sebatang penimbang air sepanjang 56cm yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment