2 lelaki disyaki jual darjah kebesaran ditahan

Wednesday, November 15, 2017

2 lelaki disyaki jual darjah kebesaran ditahan

2 lelaki disyaki jual darjah kebesaran ditahan

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 40 dan 57 tahun dipercayai ahli persatuan dalam sindiket penjualan dan pemberian darjah kebesaran palsu di negeri ini dengan nilai antara RM180,000 hingga RM280,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata kedua-dua suspek yang bergiat aktif dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tidak berdaftar di Batu Pahat sejak awal tahun ini, ditahan pada 30 Oktober lalu di sekitar bandar raya ini.

Katanya, sehingga kini, terdapat 13 laporan polis dibuat terhadap sindiket itu, selain polis masih mengesan lebih daripada 40 ahli lain yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan berkenaan.


PINGAT Darjah Kebesaran Negeri, Sijil Pengiktirafan, Logo Kebesaran, Pakaian , Kad Pertubuhan antara yang dirampas. - Foto BERNAMA

"Yuran keahlian yang ditawarkan berjumlah RM20,000 hingga RM30,000, selain bagi mendapatkan gelaran Datuk mereka (ahli) perlu membayar RM180,000, manakala RM280,000 bagi gelaran Datuk Seri.

"Sindiket juga menggunakan modus operandi iaitu menghasut orang supaya menjadi ahli pertubuhan yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah 'menumpang' (menyertai) Persatuan Komuniti Kepolisian bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan masyarakat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, susulan tangkapan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor berjaya merampas lapan Pingat Darjah Kebesaran dan Watikah Pelantikan dianggarkan bernilai RM1.34 juta.

Dalam pada itu, pihaknya kini sedang menjejaki seorang suspek lelaki iaitu Muhamad Faizal Abd Rahman, 33, bagi membantu siasatan.

"Kita senaraikan lelaki ini sebagai orang dikehendaki dan hasil siasatan mendapati alamat terakhir suspek bertempat di Kuala Lumpur, selain didapati tiada golongan kerabat dan orang kenamaan yang terbabit dalam sindiket ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 45 (1) Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan dokumen dengan niat menipu, Seksyen 15 (2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment