Umno bakal laksana proses pemutihan

Monday, September 24, 2018

Umno bakal laksana proses pemutihan

Umno bakal laksana proses pemutihan

KUALA LUMPUR - Umno bakal melaksanakan proses pemutihan sebagai usaha mengemas kini keanggotaan lebih tiga juta ahlinya di seluruh negara.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha itu dilakukan berikutan tindakan beberapa ahlinya mengambil keputusan untuk keluar parti selain mengemaskini keanggotaan yang terbaharu.

“Kita menerima realiti dalam situasi ini ada sedikit sebanyak pergerakan dan juga migrasi ahli yang keluar masuk kerana landskap politik negara yang berubah.

“Pendirian Umno, kita ambil sikap yang terbuka termasuklah tindakan pemimpin-pemimpin kanan yang membuat keputusan mereka sendiri. Tapi apa yang pasti, Umno akan terus bergerak ke hadapan dengan lebih gigih,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses pemutihan itu

perlu dilakukan bukan hanya kerana berlaku perubahan keahlian, tetapi juga kerana terdapat  keahlian yang diragukan statusnya.

“Kali terakhir kita lakukan pemutihan adalah beberapa tahun dahulu yang mana kini kita dapati banyak juga di dalam senarai keanggotaan kita terdiri daripada ahli-ahli yang sudah meninggal dunia selain ahli yang sudah berhijrah ke parti lain.

“Dengan mengambil kira proses transformasi yang sedang kita lakukan secara menyeluruh dalam Umno, proses pemutihan ini dirasakan cukup relevan dan  akan dilaksanakan sebaik selesai Perhimpunan Agong Umno tahun ini,” jelasnya.

Beliau turut menjangkakan, proses pemutihan itu akan dapat diselesaikan sehingga hujung tahun ini.

“Sekarang berdasarkan statistik terkini, jumlah keahlian Umno adalah seramai 3,696,283 di 22,000 cawangan dan 191 bahagian.

“Kita mahu pastikan ahli yang wujud dalam parti ini adalah di kalangan mereka yang benar-benar mendokong dasar perjuangan dan berfungsi mengikut perlembagaan. Kita tidak mahu berbangga kepada angka kerana kita mahu tumpukan kepada kualiti,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment