Polis nafi laporan kanak-kanak diliwat OKU di Pantai Dalam

Monday, September 24, 2018

Polis nafi laporan kanak-kanak diliwat OKU di Pantai Dalam

Polis nafi laporan kanak-kanak diliwat OKU di Pantai Dalam

KUALA LUMPUR - Polis menafikan laporan sebuah portal berita tempatan yang melaporkan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun  diliwat seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Arifai Tarawe berkata kanak-kanak itu sebenarnya terjatuh tangga dari tingkat 20 ke tingkat 19 dalam kejadian  di Flat Kondo Rakyat, Pantai Dalam pada 12 Sept lepas.

“Kes yang dilaporkan itu tidak betul. Memang ada kejadian kanak-kanak jatuh dari tangga tingkat 20 ke tingkat 19 di Kondo Rakyat. Bukan diliwat dan dicampak oleh seorang lelaki OKU yang mengalami sakit mental.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan sehingga rakaman percakapan mangsa diambil kerana buat masa ini pegawai perubatan yang merawatnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menasihatkan mangsa untuk berehat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, sebuah portal berita tempatan melaporkan seorang kanak-kanak lelaki tidak dapat menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selepas diliwat dan dicampak di tangga dari tingkat 20 ke tingkat 19 di sebuah flat di Pantai Dalam.

Laporan itu memetik kenyataan aktivis Komuniti Harmoni Kita (KHK), Fazrysham Kamran yang berhubung dengan keluarga mangsa bahawa pelaku adalah  seorang pesakit mental berusia 34 tahun dan mempunyai kad OKU.

“Mangsa dipaksa ke tingkat 20 dan dipaksa  menonton beberapa video klip lucah dalam telefon bimbit suspek. Selepas itu, mangsa dipaksa untuk meniru adegan yang sama,” lapor portal berkenaan. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment