Polis jawab kes tular tahanan lari di Bagan Serai
SELAMA - Dakwaan bahawa terdapat tahanan polis melarikan diri berhampiran Masjid Tinggi, dekat Bagan Serai semalam sebagaimana yang tular di media sosial adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaakob berkata, lori polis yang sering membawa tahanan dilihat berhenti berhampiran masjid tersebut kerana mengalami kerosakan dan sedang menunggu bantuan.
Katanya kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam itu berlaku semasa lori tersebut dalam perjalanan pulang dari Mahkamah Taiping ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di Bagan Serai.
"Kerosakan lori itu menyebabkan anggota polis terpaksa menunggu bantuan untuk membaiki kenderaan berkenaan sebelum meneruskan perjalanan pulang," katanya dalam sidang media pada program Community Policing di Balai Polis Sungai Bayor, dekat sini hari ini.
Seramai 100 orang menyertai program membabitkan ahli Parlimen dan Adun, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di daerah Kerian.
Omar Bakhtiar menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan perkara yang tidak benar kerana ia boleh menyebabkan orang ramai menjadi panik.
Mengenai program hari ini, beliau berkata ia bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara polis dengan ketua-ketua jabatan kerajaan dan agensi di daerah Kerian seterusnya memudahkan urusan kerja masing-masing.- Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment