Perlu turunkan umur layak mengundi

Wednesday, September 26, 2018

Perlu turunkan umur layak mengundi

Perlu turunkan umur layak mengundi

BARU-BARU ini barisan Kabinet Malaysia telah menyuarakan sokongan dan komitmen untuk menurunkan umur minimum mengundi di Malaysia dari 21 tahun ke 18 tahun. Menyedari peri pentingnya peranan golongan muda dalam pembinaan negara kita, sokongan yang diberikan tersebut tiba pada saat yang terbaik.

Sudah tiba masanya untuk kita mengangkat suara golongan muda. Saya menyokong usul ini atas beberapa sebab, iaitu:

1. Mengikut Akta Umur Dewasa 1971, individu yang berumur 18 tahun sudah dianggap mencapai taraf seorang dewasa di sisi undang-undang. Kerajaan dan masyarakat telah mengiktiraf seorang yang dewasa sebagai individu yang rasional dan bertanggungjawab ke atas setiap tindakan dan keputusan yang diambil. Oleh sebab itu, seseorang itu dibenarkan oleh undang-undang untuk menandatangani kontrak secara sah, ataupun bertanggungjawab atas jenayah yang telah dilakukan apabila sudah mencapai umur 18 tahun.

Memandangkan masyarakat sudah pun memberi kepercayaan kepada mereka untuk menggalas pelbagai tanggungjawab, maka seharusnya mereka juga diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka.

2. Sebanyak 95% negara demokratik di dunia telah meletakkan umur mengundi sebagai 18 tahun. Malah beberapa negara, seperti negara jiran kita Indonesia, mempunyai umur mengundi seawal 17 atau 16 tahun. Negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Perancis telah memberi hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun. Negara membangun seperti Thailand, Mesir, Afrika Selatan juga mampu memberi hak mengundi kepada anak muda mereka tanpa menghadapi masalah.

Apabila kita menganalisis isu sebegini, penting untuk kita melihat pada realiti sedunia dan bukan hanya mengikut emosi. Had umur mengundi 18 tahun telah dilaksanakan dengan berjaya di lebih 100 negara.

3. Umur layak mengundi pada umur 21 tahun adalah legasi penjajah British yang sudah tidak sesuai dengan perkembangan norma dan undang-undang masyarakat Malaysia. Penjajah British meletakkan umur 21 sebagai umur kematangan kerana seorang anak lelaki mampu menjadi satria pada umur tersebut. Menyedari konsep sebegitu sudah lapuk, Britain sendiri meminda undang-undang mereka pada 1969 untuk menurunkan umur dewasa dan had umur mengundi kepada 18 tahun. Namun, Malaysia memilih untuk kekal dengan undang-undang kolonial yang tidak selari dengan norma masyarakat Malaysia.

4. Dengan meluaskan akses mengundi, kita mampu memperkasakan demokrasi dengan memastikan rakyat tidak disisihkan dan suara setiap lapisan masyarakat lantang didengari. Malaysia adalah negara yang muda dengan umur median 28 tahun. Maka hanyalah adil jika golongan muda mempunyai suara dalam menentukan hala tuju negara.

Jika kita lihat, pengundi muda mempunyai perspektif politik yang unik dan bernas. Di Amerika Syarikat, golongan muda lantang menentang Donald Trump yang anti-Islam, manakala Donald Trump disokong pengundi tua yang sepatutnya lebih “rasional”. Di United Kingdom pula, pengundi muda menentang gerakan Brexit yang mampu menghancurkan ekonomi negara. Perbezaan pendapat politik ini adalah sesuatu yang harus diraikan.

5. Penurunan umur mengundi akan mengembalikan status universiti sebagai pusat kemajuan ilmu, dan bukannya hanya gedung graduan. Dengan mansuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) dan berputiknya kesedaran politik dalam hati pengundi-pengundi muda ini, maka akan semakin mekar ekosistem perdebatan dan diskusi ilmiah di universiti-universiti tempatan. Kesedaran ini akan melahirkan ramai graduan yang mampuberfikir dan berdebat secara kritis serta peka terhadap isu-isu semasa.

6. Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, hanya 48% dewasa muda (18-22 tahun) yang terlibat dengan pendidikan tinggi. Ini bermaksud 52% atau majoriti dari kumpulan umur ini memilih untuk bekerja, berniaga atau memulakan keluarga. Maka stereotaip atau tanggapan masyarakat bahawa anak muda tidak matang dan tidak punyai tanggungjawab adalah tidak benar. Golongan ini kerap dilupakan oleh masyarakat dan perancang polisi kerana mereka tidak mempunyai suara.

Hak mengundi adalah suara kita dalam demokrasi negara. Nescaya suara golongan “majoriti senyap” akan lebih mendapat perhatian dengan pemberian hak demokrasi kepada mereka. Menurunkan umur mengundi bukan sahaja langkah untuk memberikan hak mengundi sama rata kepada semua dewasa di Malaysia, malah ia mampu menjadi benih demokrasi yang mampu membawa sistem demokrasi matang di Malaysia.

Sudah banyak negara yang telah mengurangkan umur mengundi mereka demi memberi ruang kepada aspirasi dan pandangan golongan muda dalam proses demokrasi dan pembangunan negara. Telah sampai masa untuk Malaysia mengambil langkah yang sama.

* Tharma Pillai adalah Pengarah Undi18, iaitu gerakan memperjuangkan penurunan had umur layak mengundi di Malaysia dari umur 21 tahun kepada 18 tahun.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment