Gadis derita kanser tulang perlu dana perubatan

Wednesday, September 26, 2018

Gadis derita kanser tulang perlu dana perubatan

Gadis derita kanser tulang perlu dana perubatan

JELI - Seorang gadis yang menderita kanser tulang mengharapkan bantuan orang ramai dalam usaha mendapatkan sejumlah RM15,000 bagi menampung pembedahan membuang sendi lutut Oktober ini.

Syuhaini Mohd Dzulkfli, 20 berkata, pembedahan tersebut perlu dijalankan segera bagi mengelak sel kanser berkenaan terus merebak.

"Saya sepatutnya menjalani enam kali kimoterapi, bagaimanapun selepas tiga kali rawatan itu diambil, kanser berkenaan tidak memberikan tindak balas sebagaimana diharapkan.

"Pihak hospital memutuskan untuk menjalankan pembedahan segera bagi membuang tulang berkenaan di bahagian sendi lutut kiri saya dan masukkan alat sokongan," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Syuhaini berkata, dia sepatutnya menjalani pembedahan berkenaan semalam, bagaimanapun disebabkan kos diperlukan masih belum mencukupi ia terpaksa ditunda kepada 10 Oktober ini.

"Kos sebenar sebanyak RM32,200, dengan bantuan pihak hospital, sebahagiannya sudah ada, dan kami hanya perlu sediakan RM15,000 lagi," katanya.

Dia berkata, walaupun RM15, 000 sahaja perlu ditambah, namun jumlah itu cukup besar baginya memandangkan tidak ada sebarang simpanan dan pendapatan bapanya, Mohd Dzulkfli Mamat sebagai mekanik juga tidak seberapa.

Menurutnya, dia berharap orang ramai dapat membantunya untuk sama- sama mengumpulkan kos diperlukan kerana di kini buntu memikirkan cara mendapatkan dana berkenaan.

Mengulas mengenai penyakit dihidapi, Syuhaini yang sebelum ini tinggal di Pahang berkata, Mei lalu dia mengalami lenguh-lenguh badan termasuk di bahagian lutut dan menyangka mungkin kesan jatuh September tahun lalu.

"Saya pergi urut dengan seorang tukang urut sebelum dinasihatkan ke klinik kerana berpendapat ia bukan sakit sendi biasa. Bila saya rujuk klinik kesihatan di Indera Mahkota dan ujian x- ray dijalankan, doktor sahkan tulang saya bermasalah," katanya.

Syuhaini berkata, dia kemudian diminta merujuk hospital berhampiran sebelum ujian MRI dijalankan dan disahkan terdapat ketumbuhan pada tulang lututnya.

"Disebabkan ketiadaan pakar di hospital berkenaan, kes saya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum disahkan menghidap kanser tulang, tapi masih di peringkat awal," katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan ke akaun CIMB (7622221330) atas Syuhaini Mohd Dzulkfli.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment